Teks : Rosnia Dahlan
Foto : Carian Google
# Entri 65
Assalamualaikum Selamat Petang
Hari ini 12.12.2016, Apa yang istimewanya pada tarikh ini? Sebenarnya tarikh ini adalah tarikh keramat buat diri saya iaitu hari ulang tahun saya. Tahun ini sebenarnya saya menyambut harijadi bersama dengan anak bongsu saya. Anak saya lahir pada 13.12.2015, jadi sempena umurnya setahun hari ini kami telah mengadakan sedikit majlis kesyukuran dan semoga kami dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki yang berkah dan diberi kesihatan yang baik, Aamiin.
Majlis ringkas saja dan hanya memanggil keluarga yang terdekat saja tetapi cukup juga untuk memenuhi ruang rumah saya yang tidak seberapa ini. Acara jadi seronok sebab anak-anak yang lain suka bakar-bakar/ panggang-panggang ikan. Bila lama tidak berkumpul mesti banyak cerita yang ingin dikongsikan dan riuh rendahlah kedengaran dari ruang luar rumah. Anak kecil saya pula teruja sangat melihat ramai orang datang, mungkin sebab dekat rumah ini tidaklah ramai sangat yang tinggal jadi bila dia melihat keluarga handai berkumpul maka dia jadi seronok. Umur setahun dia sudah boleh berjalan sangat laju kerana dia mula pandai berjalan pada umur 10 bulan, rasa cepat la tu kan.
Sebagai ibu, saya gembira melihat gelagat anak-anak saya yang dapat berkumpul dimusim cuti sekolah ini. Jika masa sekolah seorang anak saya iaitu anak kedua berada di asrama sebab dia bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara. Walaupun begitu setiap minggu juga saya pergi melawat dia diasrama kerana asrama itu terletak kurang dari 10 minit perjalanan dari rumah saya, maka mudahlah saya pergi melawat setiap minggu. Baru-baru ini dia telah menduduki peperiksaan PT3 tapi keputusan belum keluar lagi dan saya berdoa semoga beliau mendapat keputusan yang terbaik buat dirinya. Sebenarnya dirinya rasa tercabar sebab kakak sulungnya mendapat 10A dalam peperiksaan PT3 tahun lalu di sekolah harian biasa. Namun saya tidak ingin membanding-bandingkan mereka, biarlah mereka berusaha dan buat yang terbaik buat diri mereka sebab itu adalah masa depan mereka.
Persediaan SPM itulah persediaan yang terpenting buat mereka kerana keputusan SPM lah yang akan menentukan perjalanan hidup mereka. Namun ia juga perlu seiring dengan ibadah dan doa harian kerana Allah maha pemberi. Semoga anak-anak saya berjaya dalam hidup mereka masing-masing dan saya hanya mampu berdoa yang terbaik buat mereka.
Setakat ini dulu coretan saya, nanti kita berkongsi cerita lagi. Saya hendak berkemas-kemas dahulu sebab rumah sudah macam tongkang pecah, bersepah-sepah barang.
No comments:
Post a Comment