JURNAL SEORANG MISI: Penghijrahan Jururawat (i)

17 Feb 2016

Penghijrahan Jururawat (i)

 
 
 
 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 8
 
 
Kami Sedia Membantu, adalah slogan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Bermaksud bersedia membantu dalam apa keadaan sekalipun walau di mana juga berada.  Begitu ramai yang ingin menjadi anggota KKM terutama jawatan sebagai jururawat.  Walaupun masyarakat setempat menganggap profesion ini sebagai profesion murahan namun masih ramai pelajar lepasan SPM yang memohon untuk menjadi jururawat. 
 
Di zaman yang serba moden ini pemikiran manusia juga perlu diubah. Persepsi mereka juga perlu diubah menjadi lebih luas dan terbuka.  Kita dapat melihat Kolej Kejururawatan tempatan dan swasta telah banyak ditubuhkan ibarat cendawan tumbuh. Menurut satu kajian, kerjaya jururawat pada zaman sekarang adalah kerjaya yang paling ramai sama ada di dalam mahupun luar negara. Ada yang mengambil peluang untuk mencari pengalaman 3 hingga 4 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan upah yang tinggi.  Begiitu tinggi pasaran profesion ini di luar negara.
 
Tahukah anda bahawa jururawat dari Malaysia ramai yang bekerja di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Abu Dhabi, Dubai dan Bahrain dan gaji yang ditawarkan adalah bermula dari RM9000 ke atas bergantung pada jawatan seseorang jururawat.  Tidak hairanlah begitu ramai jururawat yang mempunyai pengalaman berhijrah ke Negara Arab untuk mendapatkan upah yang lebih tinggi selain mencari pengalaman di tempat orang.  Ramai jururawat berpengalaman antara tiga hingga lima tahun bekerja di tempat sendiri berlumba-lumba mencari peluang bekerja di sana terutama di Arab Saudi. 
 
Faktor lain, jururawat berkenaan tertarik untuk bekerja di sana adalah disebabkan insentif seperti kemudahan tempat tinggal, makanan, pengangkutan, tiket penerbangan pulang bercuti secara percuma berbanding ditawarkan di negara sendiri.  Selain itu mereka boleh mengerjakan haji bila ada masa terluang dan pergi melancong ke merata destinasi yang diingini.  dari Negara Arab. Di sebalik usaha kerajaan melatih ribuan jururawat, Malaysia menjadi antara kilang terbesar mengeksport jururawat ke serata dunia, ia menunjukkan tiada langsung pengangguran di kalangan jururawat di Malaysia dan Malaysia adalah antara negara di Asia yang dibayar gaji tinggi menyamai gaji yang diterima oleh jururawat lain yang datang dari Negara Barat.
 
Selalunya pihak Melorita yang mengendalikan penghijrahan jururawat Malaysia ke Negara Arab.  Pihak Melorita sebagai orang tengah akan mengurus semua keperluan mengikut standard yang ditetapkan dan ramai jururawat yang lebih suka mengikut agen Melorita kerana kebajikan mereka terjaga selain mendapat penempatan kerja seperti yang para jurarawat inginkan.  Singapura dan Brunei juga membayar gaji yang agak tinggi berbanding di Malaysia namun ramai jururawat yang lebih meminati untuk berhijrah ke Negara Arab kerana tertarik dengan ganjaran yang diberikan. 
 
Pada masa yang sama, Malaysia akan mempunyai masalah kekurangan jururawat setiap tahun kerana penghijrahan yang berlaku saban waktu ditambah lagi jururawat yang berpencen.  Oleh itu profesion jururawat masih menuntut permohonan kemasukan dari pelajar lepasan SPM dan graduan lepasan Universiti.  Ditambah lagi dengan kepesatan pembangunan negara dan peningkatan jumlah penduduk menunjukkan potensi dalam bidang kejururawatan adalah sangat tinggi.  Penghijrahan secara beramai-ramai ke negara Timur Tengah mungkin disebabkan persamaan agama yang membolehkan jururawat negara ini, khasnya beragama Islam diterima baik juga disebabkan oleh tekanan kerja yang tinggi di negara sendiri menjadi punca utama kekurangan jururawat di Malaysia.
 
 
 
 


1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, tulisan yang menarik. :) Saya Admin dari laman web http://www.jawatankosongjururawat.com ingin meminta kebenaran pihak Pn Rosnia Dahlan untuk berkongsi artikel ini di laman web kami. Sekiranya Pn bersetuju, mohon Pn hubungi saya melalui Facebook di https://www.facebook.com/messages/jawatankosongjururawat

    Saya akan berikan link sumber rujukan kembali ke blog puan ini di dalam artikel nanti.

    ReplyDelete

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign