JURNAL SEORANG MISI: Penjimatan

23 Feb 2016

Penjimatan





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 10
Cerita petang tadi sewaktu saya dan suami sedang membeli barang-barang keperluan rumah,  Seorang anak kelihatan sedang memberontak terhadap ayahnya.  "Ayah ini kedekutlah", kedengaran seorang anak dalam lingkungan 10 tahun melepaskan geram terhadap ayahnya apabila kemahuannya tidak dipenuhi.  Si ayah hanya berdiam diri sahaja tanpa memperdulikan kata-kata anaknya.  Namun dalam hati siapa yang tahu.  Saya pun hanya memandang sahaja anak itu.  Si ayah tetap bersabar dengan rengekan anaknya. Tanpa memujuk, si ayah terus beredar ke tempat lain dan si anak juga mengikut tanpa sebarang bantahan.  Mungkin si ayah hendak berjimat dalam berbelanja dan membeli barang mengikut keperluan dan bukannya kehendak.
Keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini memang memerlukan penjimatan yang tinggi kerana semua harga barang meningkat berkali ganda.  Jika tidak pandai berbelanja kemungkinan kita mempunyai keberhutangan yang serius.  Anak-anak kecil sebenarnya tidak tahu berkaitan dengan kewangan, apa yang mereka tahu keperluan mereka mesti dipenuhi.  Apa yang mereka inginkan perlu dipatuhi.  Mungkin si ayah merasakan barang yang si anak kehendaki itu tidak penting.  Ini memberi peringatan kepada saya supaya anak-anak juga perlu diberitahu soal kewangan dan peningkatan harga-harga barang perlu diberitahu walaupun mereka tidak faham.  Kita yang dewasa ini perlu pandai mengawal keadaan dan membuat anggaran perbelanjaan.

Hal ini penting bagi keluarga dan individu dan boleh menjadi cara terpantas untuk menjimatkan wang. Kita akan secara langsung dapat melihat pendapatan kita dan pengeluaran selepas kita membuat anggaran perbelanjaan.  Kita hanya akan dapat menjimatkankan wang jika kita tahu berapa banyak wang yang dimiliki, dan berapa banyak wang yang kita belanjakan keluar.  Anak-anak perlu didedahkan tentang kepentingan menyimpan wang dan mengajar menabung seawal usia adalah sangat baik dan semoga usaha ini akan mengajar anak-anak untuk berjimat cermat dan mementingkan wang simpanan bagi masa hadapan. 

No comments:

Post a Comment

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign