JURNAL SEORANG MISI: OSCC

4 May 2016

OSCC

 
 
 
 
 

 
TEKS  :  ROSNIA DAHLAN
FOTO :  CARIAN GOOGLE
 
 
#  Entri 24
 
 
Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa kepada para sahabat dan para pembaca budiman yang masih setia mengikuti blog saya.  Alhamdulillah syukur dengan nikmatNya kerana masih diberi peluang bernafas di dunia ini.  Hari ini saya bekerja shif petang dan tidak banyak yang saya lakukan hari ini tetapi cuma menyiapkan tugasan-tugasan untuk bengkel OSCC yang akan dibuat pada 12 Mei 2016.  
 
Apa itu OSCC?  Mungkin ada para pembaca yang sudah tahu atau terbaca tentang Pusat Khidmat Bersepadu/OSCC.  OSCC adalah singkatan dari One Stop Crisis Center iaitu satu tempat yang disediakan di Jabatan Kecemasan bagi membantu mangsa krisis secara bersepadu.  Ia menggabungkan kerjasama antara pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk membantu  menyelesaikan masalah mangsa penderaan seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, rogol dan liwat.  Pihak-pihak yang terlibat selalunya ialah Hospital, Jabatan Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Undang-undang Mahkamah serta NGO.  Semua pihak akan bekerjasama dibawah satu bumbung bagi memudahkan urusan mangsa sehingga selesai. 
 
Mangsa akan dimasukkan terus ke dalam bilik OSCC sebaik sahaja ditriage tanpa perlu menunggu di ruang menunggu Jabatan Kecemasan. Pendaftaran akan dilakukan oleh anggota/waris yang mengiring mangsa dan pemeriksaan tanda vital akan dilakukan di dalam bilik OSCC oleh anggota yang bertugas, sebelum mangsa diperiksa oleh pegawai perubatan. Rujukan ke jabatan yang berkaitan akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas sekiranya perlu.
 
Fungsi OSCC termasuklah memberi rawatan dan pemeriksaan, mengambil spesimen yang diperlukan, mengambil keterangan, memberi kaunseling, perlindungan dan juga bantuan guaman.  Oleh itu bengkel yang akan diadakan nanti adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada kakitangan perubatan lain cara mengendalikan kes, teknik pengambilan dan pengendalian spesimen, cara mengendalikan pakaian mangsa dan borang-borang yang diguna pakai dalam pengendalian kes.
 
 
 
 

1 comment:

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign