Teks : Rosnia Dahlan
Foto : Carian Google
# Entri 26
Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Beberapa hari tidak entri dalam blog. Esok 12.05.2016 adalah hari jururawat dan seluruh jururawat akan menyambut detik bersejarah ini. Kerjaya jururawat yang memerlukan satu komitmen dan kesabaran yang tinggi dalam menjalankan tugas bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Teringat saya sewaktu menghadiri sesi temuduga untuk menjadi seorang jururawat. Salah satu soalan yang ditanya adalah ' sanggup ke ditempatkan di luar bandar bila sudah tamat kursus?' Spontan saya menjawab sanggup tanpa berfikir sebab tidak mahu menganggur. Akhirnya saya berjaya juga dalam temuduga tersebut. Saya menjalani kursus jururawat selama 3 tahun di Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Sabah iaitu 7 jam perjalanan dari tempat tinggal.
Sewaktu dalam latihan banyak yang saya lalui, pahit manis sebelum bergelar jururawat. Tidak akan dilupa kenangan tersebut sebab terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang dilalui sewaktu menjalani latihan. Bekalan air selalu tiada jadi kami terpaksa mengambil air jauh ataupun terpaksa membeli banyak baldi bagi menyimpan air untuk kegunaan peribadi namun kadang kala air pun habis sebab rakan-rakan lain ambil tanpa meminta, sungguh sedih bila hendak guna tiba-tiba air dah habis.
Hendak mandi pun terpaksa bangun seawal subuh sebab kalau tidak terpaksa berbaris panjang menunggu giliran dan akibatnya lambat masuk bilik kuliah. Dalam kem latihan itu ada 3 buah asrama tetapi asrama yang saya tinggal di asrama Cempaka dan asrama itu pelik sikit sebab semua pintu-pintu bilik orang boleh tengok termasuk pesakit dari wad. Bila malam pula terasa seram hendak ke luar dari bilik sebab buka je pintu bilik terpaksa tengok suasana malam dan terpaksa melalui pokok besar depan asrama. Pintu bilik pula pantang sikit terbuka, misi dari wad pasti akan telefon sebab kononnya kami sangat bising sehingga mengganggu pesakit-pesakit di wad.
Masa makan pun macam itu juga terpaksa beratur panjang, dan kadang kala saya malas hendak makan ataupun tinggalkan saja bekas untuk simpan makan sebab tidak sempat hendak makan. Lambat ambil makanan pun satu hal juga. Ruang makan pula itu lah juga ruang nonton yang dipenuhi oleh pelatih-pelatih lain. TV hanya ada 1 saja tetapi yang hendak duduk menonton punyalah ramai sehingga suara tv tersebut ditenggelami oleh suara pelatih-pelatih.
Saya akan sambung kisah saya ini di entri seterusnya, jangan ketinggalan tau..
No comments:
Post a Comment