JURNAL SEORANG MISI: JIMAT BELANJA

30 May 2016

JIMAT BELANJA


Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 34
Bertemu lagi kita dalam blog ini. Assalamualaikum semua pembaca blog saya.  Sekarang ini musim cuti sekolah dan bagi penduduk di Sabah hari ini dan esok merupakan cuti umum sempena Tadau Kaamatan.  Bagi saya pula yang bekerja secara syif tiada istilah cuti umum pada hari yang sama. Gantian cuti umum akan diberi pada bila-bila masa sahaja dan apabila staf yang bekerja mencukupi.
Hari ini saya bertugas shif petang dan saya mempunyai masa untuk menulis blog secara ringkas.  Oleh kerana musim cuti anak-anak pun berkumpul dekat rumah.  Inilah masanya hendak menyediakan sarapan pagi buat mereka.  Kita dapat berjimat belanja jika kita masak sendiri di rumah berbanding membeli dekat luar kerana harga makanan sekarang boleh dikatakan agak mahal.  Bagi keluarga yang berpendapatan rendah akan terasa dengan kenaikan semua harga barang.  Kalau kita pecahkan RM 50 berapa barang saja yang dapat kita beli dan berbaki sen-sen sahaja. 
Untuk ibu bapa yang bekerja dan kurang masa menyediakan bekalan untuk anak akan terasa kenaikan wang saku anak disebabkan kenaikan harga makanan di sekolah.  Sebab itulah ramai ibubapa yang tidak bergantung kepada satu pekerjaan sahaja tetapi membuat dua tiga kerja semata-mata untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian.  Namun adalah lebih baik jika sediakan bekalan makanan untuk anak kerana bukannya hanya jimat tetapi juga terjamin kebersihannya.

Alasan tidak cukup masa, letih dan lewat sampai di rumah menyebabkan ibu bapa lebih suka membeli makanan di luar dan menyajikan untuk anak-anak di rumah. Ianya lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu bersusah payah ke dapur yang mengambil masa yang panjang untuk memasak.  Lain cerita jika ada pembantu rumah yang dapat menolong membuat kerja-kerja di rumah. Jika kita tinjau gerai-gerai makan diluar seperti cendawan tumbuh selepas hujan.  Begitu banyak gerai makan yang menyajikan pelbagai menu masakan dan ada yang beroperasi 24 jam.  Rakyat kita jugalah yang menyebabkan fenomena ini berlaku kerana sifat malas untuk masak dirumah dan lebih suka makan diluar.  Namun jika dilihat balik adalah lebih jimat jika kita dapat menyediakan makanan untuk famili di rumah berbanding jika kita membawa mereka makan diluar. Namun jika sekali sekala apalah salahnya.






No comments:

Post a Comment

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign