JURNAL SEORANG MISI: May 2016

31 May 2016

RISIKO MAKAN DI LUAR





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 35

Sebelum ini saya ada berkongsi tentang penjimatan jika menyediakan makanan sendiri di rumah berbanding dengan makan di luar.  Namun ia bergantung juga kepada setiap individu itu kerana ada yang kesuntukan masa untuk masak sendiri di rumah dan lebih suka makan di luar kerana penyediaan yang cepat dan mungkin lebih sedap mengikut selera.
 
Apapun alasan yang diberikan terpulang kepada individu sendiri.  Saya hanya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan risiko makan ataupun sentiasa membeli juadah di luar.  Kekerapan menjamu selera di luar ini sering kali menjadi punca kepada masalah lebihan berat badan di kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa.  Khasiat makanan juga sudah tidak dipentingkan lagi apabila membeli juadah di luar dan campuran makanan yang digunakan dalam penyediaan makanan juga tidak diketahui. 
 
Akhir-akhir ini pelbagai penyakit yang disebabkan oleh pengambilan pemakanan yang tidak sihat meningkat seperti penyakit buah pinggang, kencing manis, hipertensi, sakit jantung, kolesterol tinggi dan juga obesiti.  Kesemuanya adalah secara tidak langsung berpunca dari makanan.  Selain itu sering berlaku keracunan makanan kerana penyediaan kurang bersih ataupun makanan sudah kurang segar untuk dimakan.  Jangan ambil mudah perkara ini kerana keracunan makanan boleh membawa maut khususnya pada kanak-kanak.
 
Senario mengambil jalan mudah dengan membeli makanan atau makan di gerai mahupun restoran ini perlu dikurangkan dan tidak dijadikan kebiasaan demi kebaikan anda seisi keluarga,  Apa yang perlu hanyalah biasakan anak untuk menikmati makanan yang berkhasiat dan seimbang walaupun ia bukannya masakan Melayu.  Pemakanan yang seimbang perlu mengandungi empat kumpulan utama iaitu karbohidrat, protein, lemak dan serat selain minum air secukupnya. Cuba sediakan makanan yang paling ringkas tetapi berkhasiat pada masa-masa sibuk kerana ia adalah yang paling baik untuk seisi keluarga
 
Adalah lebih baik mencegah dari mengubati kerana bila sudah terkena adalah sukar untuk diubati dan kadang kala terpaksa mengambil ubat sehingga akhir hayat. 
 
 

30 May 2016

JIMAT BELANJA


Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 34
Bertemu lagi kita dalam blog ini. Assalamualaikum semua pembaca blog saya.  Sekarang ini musim cuti sekolah dan bagi penduduk di Sabah hari ini dan esok merupakan cuti umum sempena Tadau Kaamatan.  Bagi saya pula yang bekerja secara syif tiada istilah cuti umum pada hari yang sama. Gantian cuti umum akan diberi pada bila-bila masa sahaja dan apabila staf yang bekerja mencukupi.
Hari ini saya bertugas shif petang dan saya mempunyai masa untuk menulis blog secara ringkas.  Oleh kerana musim cuti anak-anak pun berkumpul dekat rumah.  Inilah masanya hendak menyediakan sarapan pagi buat mereka.  Kita dapat berjimat belanja jika kita masak sendiri di rumah berbanding membeli dekat luar kerana harga makanan sekarang boleh dikatakan agak mahal.  Bagi keluarga yang berpendapatan rendah akan terasa dengan kenaikan semua harga barang.  Kalau kita pecahkan RM 50 berapa barang saja yang dapat kita beli dan berbaki sen-sen sahaja. 
Untuk ibu bapa yang bekerja dan kurang masa menyediakan bekalan untuk anak akan terasa kenaikan wang saku anak disebabkan kenaikan harga makanan di sekolah.  Sebab itulah ramai ibubapa yang tidak bergantung kepada satu pekerjaan sahaja tetapi membuat dua tiga kerja semata-mata untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian.  Namun adalah lebih baik jika sediakan bekalan makanan untuk anak kerana bukannya hanya jimat tetapi juga terjamin kebersihannya.

Alasan tidak cukup masa, letih dan lewat sampai di rumah menyebabkan ibu bapa lebih suka membeli makanan di luar dan menyajikan untuk anak-anak di rumah. Ianya lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu bersusah payah ke dapur yang mengambil masa yang panjang untuk memasak.  Lain cerita jika ada pembantu rumah yang dapat menolong membuat kerja-kerja di rumah. Jika kita tinjau gerai-gerai makan diluar seperti cendawan tumbuh selepas hujan.  Begitu banyak gerai makan yang menyajikan pelbagai menu masakan dan ada yang beroperasi 24 jam.  Rakyat kita jugalah yang menyebabkan fenomena ini berlaku kerana sifat malas untuk masak dirumah dan lebih suka makan diluar.  Namun jika dilihat balik adalah lebih jimat jika kita dapat menyediakan makanan untuk famili di rumah berbanding jika kita membawa mereka makan diluar. Namun jika sekali sekala apalah salahnya.






29 May 2016

PENGHARGAAN






Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 33
 
 
Selamat datang ke blog saya. Assalamualaikum salam hormat diucapkan kepada pembaca blog.  Terima kasih kerana anda sudi singgah ke blog saya untuk mencari maklumat.  Doakan saya terus istiqamah berkongsi dan terus berkongsi pelbagai maklumat di dalam blog ini.  Sesungguhnya semua ini adalah keranaNya. 
 
Baru-baru ini diadakan perhimpunan pagi.  Perhimpunan ini memang diadakan pada setiap bulan tetapi kali ini ia di kendalikan oleh semua jururawat termasuk santapan minda, bacaan doa, nyanyian lagu dan banyak lagi sempena hari Jururawat pada 12 Mei yang lalu.
 
Apa yang menarik hendak saya kongsikan ialah pengarah hospital saya dalam ucapannya telah memuji jururawatnya.  Jururawat merupakan anggota yang paling ramai bertugas dan kebanyakannya adalah jururawat wanita.  Beliau bangga dengan jururawat kerana walaupun sibuk jururawat masih kelihatan berpakaian kemas dan lengkap setiap masa, masih mampu melayan kerenah pesakit dan keluarga dan masih mampu untuk membantu para Doktor merawat pesakut.
 
Jururawat juga dapat memberikan komitmen kerja dengan cepat.  Jururawat yang bertugas juga dapat membantu para jururawat yang lain mengendalikan kursus bagi memenuhi keperluan 7 hari berkursus untuk setiap orang dalam setahun. 
 
Tahniah kepada semua jururawat atas penghargaan yang diberikan.  Selamat menyambut hari Jururawat semoga profesion kita terus unggul dan semakin dikagumi dan dekat dihati semua.
 
 

28 May 2016

Jururawat Serba Boleh



Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto   :  Carian Google

#  Entri 32
Assalamualaikum dan selamat petang para pembaca yang dihormati.  Hari ini baru berkesempatan untuk menulis dalam blog ini.  Saya banyak berkongsi kisah jururawat sebab saya adalah seorang jururawat. Sekarang hendak berkongsi lagi sedikit tentang tugas jururawat.  Jururawat ini sebenarnya serba boleh. kalau dekat rumah dialah isteri, ibu, anak, pembantu rumah dan macam-macam lagi boleh jadi.  Kalau dekat tempat kerja pula jururawat bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga sebagai kerani, pekerja am, juruaudit, dan macam-macam lagi yang dibuat.
Setiap hari jururawat akan mempunyai tanggungjawab yang berlainan.  Selain dari tugas hakiki dalam memberi perawatan kepada pesakit, mereka juga bertanggungjawab untuk order ubat, barang-barang stor, oksigen, peralatan makmal seperti tiub-tiub untuk darah, botol urin, borang-borang yang digunakan dan banyak lagi.  Jika pesakit pulang, semua dokumen perlu dilengkapkan dan temujanji perlu diberi jika perlu.  Bukan setakat order barang sahaja, mereka juga perlu pergi ke stor jika order barang atau ke farmasi jika ada order ubat sebab semuanya memerlukan tandatangan dari jururawat.  Selepas itu mereka terpaksa menyusun lagi barang-barang tersebut sehingga kemas. 
Hospital tempat saya bertugas bukannya hospital yang komputerize, semua tugas perlu dibuat secara manual.  Oleh itu seseorang jururawat tidak pernah balik ikut masa terutama jika mereka bertugas sebagai incharge.  Mereka perlu menyiapkan tugas dan laporan sebelum tamat duti dan jika ada kerja yang tertinggal mereka akan dipanggil semula untuk menyiapkan tugas tersebut.  Oleh itu mereka perlu memastikan tugas mereka selesai dahulu sebelum tamat duti.
Ini bukannya hendak menakutkan pembaca yang berminat untuk menjadi jururawat. Setiap tempat tugas adalah berbeza ikut kecanggihan sesebuah hospital dan jumlah kakitangan yang bertugas. Seseorang jururawat mempunyai banyak tugas sampingan selain dari tugas hakiki dan ia perlu dijalankan serentak sewaktu mereka memulakan syif.  Saya harap anda mendapat sedikit tips atau pengetahuan sebelum bergelar jururawat. 


26 May 2016

Suntikan Vitamin C




Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 31


Assalamualaikum selamat petang semua pembaca blog saya.  Semoga Allah jadikan Subuhmu suatu cahaya iman, Zuhurmu suatu kegembiraan, Asarmu suatu kebahagiaan, Magribmu suatu keampunan dan Isyakmu sebagai suatu keberkatan, Amin.
Sewaktu duduk sambil membelek-belek facebook, saya tertarik untuk berkongsi dengan pembaca semua salah satu maklumat yang telah dikongsi juga oleh rakan facebook dari Kementerian Kesihatan Malaysia.  Ia adalah fakta berkaitan dengan vitamin C yang perlu kita semua tahu.  Menurut World Health Organisation (WHO), keperluan vitamin C untuk seseorang adalah 45mg sehari.  Vitamin C dalam bentuk suntikan adalah dalam dos yang tinggi dan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Sebarang bentuk suntikan hanya boleh diberikan oleh ahli professional kesihatan yang bertauliah.  Suntikan oleh individu tidak terlatih boleh memberikan risiko jangkitan atau kesan advers akibat suntikan.
Semua ubat yang dipasarkan perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) bagi menjamin keselamatannya.  Sehingga kini tidak ada produk vitamin C yang didaftarkan dalam bentuk suntikan oleh KKM dan untuk pengetahuan pembaca suntikan adalah ubat dan bukannya kosmetik.
Jika anda menggunakan google anda akan terjumpa banyak maklumat yang dikongsi berkaitan dengan penggunaan vitamin C.  Oleh itu sebagai pengguna kita perlu bijak menilai tentang penggunaan vitamin C supaya kita tidak tersalah guna.  Dan kebanyakan pengguna kini menggunakan vitamin C untuk tujuan kecantikan.  Kecantikan membawa pengertian yang sangat luas.
Semua manusia sukakan kecantikan. Pandangan mengenai kecantikan berbeza mengikut tempat, adat dan budaya.  Seperti pada Hadits Rasulullah berikut ini: " Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk rupa dan hanta kalian, tapi ia melihat pada hati dan amal kalian". (HR.Muslim,Ahmad dan Ibnu Majah).  Jadi kecantikan dalam Al Qur’an dan Islam bukan di lihat pada kecantikan fisikal dan rupa semata tapi lebih pada kecantikan Sifat,tabiat,kebaikan hati dan akhlak seorang wanita.

21 May 2016

Disebalik Mei








Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
# Entri 30
 
Ya Allah, terima kasih atas segalanya dan berikan kami kekuatan untuk melalui cubaan dan semoga kami memiliki peribadi yang lebih baik.  Berkatilah segala aktiviti yang kami lakukan semoga mendapat berkah dari Mu.  Ya Allah dekatkanlah kami dengan orang-orang yang baik agar kami bisa mengikuti jejak kebaikan mereka. Semoga hari ini lebih baik dari semalam, kerana kami tahu Engkau selalu persiapkan yang terbaik buat kami. Amin.
 
Assalamualaikum dan salam hormat untuk semua pembaca blog.  Terasa cepat masa berlalu dan kini kita telah pun berada dipenghujung bulan Mei.  Bercakap tentang bulan Mei terasa banyak perkara yang penting telah berlaku dalam bulan ini dan begitu juga banyak tarikh yang penting dan bersejarah yang telah dan akan disambut.
 
1 Mei adalah hari pekerja dan tidak kiralah apa status pekerjaan anda, tarikh ini adalah untuk menghargai semua pekerja dan tarikh ini merupakan cuti umum.Saya pun seorang pekerja awam bergelar jururawat.
 
8 Mei merupakan hari ibu untuk semua ibu.  Walaupun terdapat percanggahan pendapat tentang sambutan hari ibu namun bagi umat isalam setiap hari adalah hari ibu kerana ibulah yang telah  melahirkan kita. Saya pun seorang ibu kepada anak-anak saya.
 
12 Mei adalah hari Jururawat yang disambut setiap tahun untuk menghargai sumbangan para jururawat terhadap masyarakat.  Saya seorang jururawat dan telah bertahun memberikan khidmat kepada masyarakat yang memerlukan
 
16 Mei telah ditetapkan sebagai hari guru. Sambutan Hari Guru yang diadakan pada tarikh 16 Mei setiap tahun melambangkan penghargaan besar negara dan masyarakat kepada golongan itu di atas jasa dan bakti mereka.  Selain seorang ibu, saya juga menjadi guru kepada anak-anak saya
 
30 & 31 Mei adalah hari untuk sambutan Pesta menuai / Tadau Kaamatan yang merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu untuk menghormati semangat  padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan Dusun sejak  zaman  berzaman di Sabah dan ia merupakan cuti umum bagi Negeri Sabah.

 


 

Perkongsian Hebat







Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

# Entri 29

Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat hebat.  Semoga kita semua ceria selalu dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan dimurahkan rezki yang halal.  Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu mengikuti seminar terhebat dari pakar usahawan, penulis, mentor perniagaan dan pemasaran iaitu Dr Azizan Osman. Satu peluang yang sangat bermanfaat kerana perkongsiannya akan membuka minda dan menarik aura-aura positif masuk ke dalam diri kita untuk berjaya dalam hidup.

Pendaftaran seawal pukul 7 pagi dimulakan dan begitu ramai yang datang khas untuk mendengar perkongsian beliau berkaitan dengan topik 'alang-alang berniaga biar sampai jadi jutawan'.  Saya daftar secara atas talian dengan bayaran serendah RM10 sahaja dan yang hebatnya dapat percuma buku bertajuk Mudahnya Berniaga yang ditulis sendiri oleh Dr. Azizan Osman. Dengar topik sahaja meremang bulu roma ketika itu apatah lagi sewaktu beliau berkongsi ilmu sungguh menakjubkan.  Tidak kira apa yang kita usahakan yang penting kita perlu mentor untuk mendapatkan ilmu yang boleh digunakan dalam urusan perniagaan.  Kalau tiada ilmu perniagaan yang diusahakan tidak akan sampai kemana.

Masih teringat kata-kata beliau ' apa yang kita fikir, apa yang kita cakap, apa yang kita rasa dan apa yang kita buat akan menentukan hala tuju kita dan ia merupakan satu doa.  Sungguh bermakna kata-kata beliau itu. Oleh itu mari kita fikir, cakap, apa yang kita rasa dan kita buat benda yang baik-baik sahaja semoga apa yang kita impikan akan terlaksana.

Bulan 8 nanti akan ada lagi kelas selama 3 hari dan saya telah pun mendaftar untuk maksud tersebut sebab ingin mengetahui lebih lanjut lagi perkongsian beliau nanti.  In Sha Allah semoga semua dipermudahkan segala urusan dan boleh mencapai impian yang dihajati, Aminnnn.....








20 May 2016

Motivasi pagi

Related image






Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 28

Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan dan menjemput rezki yang berkah.  Syukur padamu ya Allah.

Kita sambut pagi ini dengan penuh semangat.  Lupakan kesilapan semalam dan jadikan ia sebagai modal pengalaman untuk melakukan yang lebih baik pada hari ini.

Assalamualaikum selamat pagi sahabat positif.  Mari kita rencanakan apa yang perlu dilakukan hari ini dan lakukan apa yang telah direncanakan. Semoga apa yang direncanakan dan diusahakan mendapat petunjuk dan hidayah dari Nya dan menjadikan kita seorang yang berjaya. Semoga Allah selalu memberkati kita dan keluarga dengan kesihatan, kedamaian, kesetiaan, kerukunan, kebahagiaan dan semua perkara yang baik serta rezki yang melimpah.  

Terima kasih kepada pembaca blog yang sudi singgah saya doakan kalian mendapat banyak manfaat dari perkongsian saya. Doakan saya terus istiqomah berkongsi dunia jururawat dan semoga lebih banyak pengetahuan dapat kita kongsi bersama.






































19 May 2016

Kisah Sebagai Pelatih Jururawat (ii)

Kolej Kejururawatan Sandakan

                      

Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
#  Entri 27

 
Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam sehati sejiwa.  Hari ini hendak sambung kisah saya sebagai seorang pelatih Jururawat yang menjalani kursus di Hospital Duchess Of Kent Sandakan.  Kedengaran cantik bunyi nama hospital ini, betul tak?  Masa mula-mula menjalani teori itu kami hanya menggunakan pakaian formal sahaja sebab baju seragam belum siap.  Yang bestnya teori dibuat di bawah asrama kami saja, jadi tidak ada masalah lambat masuk kelas. Sangat serba kekurangan pada masa itu, pembentangan dilakukan menggunakan kertas mah-jong dan transparensi sahaja. 
 
Pukul 9.00 malam pagar asrama tutup dan semua pelatih tidak dibenarkan keluar.  telefon bimbit dahulu tiada dan di asrama hanya ada satu telefon sahaja dan itupun telefon untuk panggilan masuk sahaja.  Sesiapa yang dapat penggilan dari keluarga terpaksa berlari-lari untuk menerima panggilan sebab jauh.  Kadangkala sampai talian sudahpun terputus. 
 
Selepas  beberapa bulan, 3 telefon awam di pasang dalam asrama tetapi itu pun hayatnya pendek sahaja dan  selalu tidak dapat digunakan.  Kalau berfungsi pun akan nampaklah pelatih-pelatih beratur panjang di pondok telefon sebab semua hendak menggunakan perkhidmatan itu. 
 
Hujung minggu ataupun bila sahaja cuti saya akan 'sign off' yang bermaksud tidak makan dalam asrama dan kami akan mencari makan sendiri.  Kadangkala saya akan mengikut rakan lain yang tinggal berdekatan ke rumah mereka sambil melihat kampong halaman mereka, sungguh seronok bila diingat zaman dahulu.  Kadangkala kami akan berkongsi membeli makanan dan akan makan bersama-sama.

Kenangan ini masih segar dalam ingatan walaupun berbelas tahun sudah ditinggalkan.  Kepada sahabat-sahabat yang melalui zaman latihan bersama-sama anda adalah sahabat saya yang tidak dapat saya lupakan. Kenangan yang dilalui bersama-sama akan menjadi memori yang terindah.

Kini asrama ini telah bertukar baru seiring dengan peredaran waktu.  Hospital dan asrama telah dinaik taraf dan pelatih-pelatih sekarang sangat bertuah sebab mempunyai asrama yang serba lengkap dan selesa untuk menuntut ilmu.
 

11 May 2016

Kisah Sebagai Pelatih Jururawat









Teks :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 26


Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.  Beberapa hari tidak entri dalam blog.  Esok 12.05.2016 adalah hari jururawat dan seluruh jururawat akan menyambut detik bersejarah ini.  Kerjaya jururawat yang memerlukan satu komitmen dan kesabaran yang tinggi dalam menjalankan tugas bagi membantu masyarakat yang memerlukan. 
 
Teringat saya sewaktu menghadiri sesi temuduga untuk menjadi seorang jururawat.  Salah satu soalan yang ditanya adalah ' sanggup ke ditempatkan di luar bandar bila sudah tamat kursus?'  Spontan saya menjawab sanggup tanpa berfikir sebab tidak mahu menganggur. Akhirnya saya berjaya juga dalam temuduga tersebut.  Saya menjalani  kursus jururawat selama 3 tahun di Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Sabah iaitu 7 jam perjalanan dari tempat tinggal.  
 
Sewaktu dalam latihan banyak yang saya lalui, pahit manis sebelum bergelar jururawat.  Tidak akan dilupa kenangan tersebut sebab terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang dilalui sewaktu menjalani latihan.  Bekalan air selalu tiada jadi kami terpaksa mengambil air jauh ataupun terpaksa membeli banyak baldi bagi menyimpan air untuk kegunaan peribadi namun kadang kala air pun habis sebab rakan-rakan lain ambil tanpa meminta, sungguh sedih bila hendak guna tiba-tiba air dah habis.
 
Hendak mandi pun terpaksa bangun seawal subuh sebab kalau tidak terpaksa berbaris panjang menunggu giliran dan akibatnya lambat masuk bilik kuliah.  Dalam kem latihan itu ada 3 buah asrama tetapi asrama yang saya tinggal di asrama Cempaka dan asrama itu pelik sikit sebab semua pintu-pintu bilik  orang boleh tengok termasuk pesakit dari wad.  Bila malam pula terasa seram hendak ke luar dari bilik sebab buka je pintu bilik terpaksa tengok suasana malam dan terpaksa melalui pokok besar depan asrama.  Pintu bilik pula pantang sikit terbuka, misi dari wad pasti akan telefon sebab kononnya kami sangat bising sehingga mengganggu pesakit-pesakit di wad.
 
Masa makan pun macam itu juga terpaksa beratur panjang, dan kadang kala saya malas hendak makan ataupun tinggalkan saja bekas untuk simpan makan sebab tidak sempat hendak makan.  Lambat ambil makanan pun satu hal juga. Ruang makan pula itu lah juga ruang nonton yang dipenuhi oleh pelatih-pelatih lain.  TV hanya ada 1 saja tetapi yang hendak duduk menonton punyalah ramai sehingga suara tv tersebut ditenggelami oleh suara pelatih-pelatih.
 
 
Saya akan sambung kisah saya ini di entri seterusnya, jangan ketinggalan tau..
 

7 May 2016

EKSA



Teks  :  Rosnia Dahlan


#  Entri 25


Assalamualaikum W.W. Salam ukhuwah wahai pembaca budiman.  Seawal subuh hujan turun dengan lebatnya.  Sudah beberapa hari hujan turun dengan lebatnya dan ini adalah salah satu nikmat yang diberikan olehNya.  Hari ini saya duti  pagi jadi ada masa hendak kemaskini blog.  Pagi ini saya sibuk mengemas dan mengemas. Rumah tidak kemas tetapi kemas rumah kedua.  Rumah kedua itu tempat kerjalah.  Hari sibuk mengemas sebab audit EKSA akan bermula pada 10hb hingga13hb Mei ini. Rasa tak cukup kaki dan tangan untuk mengemas.  EKSA adalah singkatan dari Ekosistem Kondusif Sektor Awam telah diperkenalkan bagi penjenamaan semula 5S.  
 
 
EKSA telah diamalkan di sektor kerajaan dan swasta untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dalam masa yang sama, imej korporat dapat dikekalkan. Amalan ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal selain daripada berupaya mengurangkan pembaziran dari segi masa dan ruang. Penjimatan kos dapat dilakukan. 
 
Sebelum ini adalah konsep Amalan 5S yang mula diperkenal di Jepun. Amalan 5S adalah kaedah atau yang boleh mewujudkan persekitaran di tempat kerja berkualiti yang selesa, kemas dan selamat dalam organisasi dan menentukan kepatuhan kepada piawaian sera memupuk usaha penambahbaikkan yang berterusan,  Tindakan perlaksanaan adalah tertumpu kepada awalan 'S' iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.
 
 
 


4 May 2016

OSCC

 
 
 
 
 

 
TEKS  :  ROSNIA DAHLAN
FOTO :  CARIAN GOOGLE
 
 
#  Entri 24
 
 
Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa kepada para sahabat dan para pembaca budiman yang masih setia mengikuti blog saya.  Alhamdulillah syukur dengan nikmatNya kerana masih diberi peluang bernafas di dunia ini.  Hari ini saya bekerja shif petang dan tidak banyak yang saya lakukan hari ini tetapi cuma menyiapkan tugasan-tugasan untuk bengkel OSCC yang akan dibuat pada 12 Mei 2016.  
 
Apa itu OSCC?  Mungkin ada para pembaca yang sudah tahu atau terbaca tentang Pusat Khidmat Bersepadu/OSCC.  OSCC adalah singkatan dari One Stop Crisis Center iaitu satu tempat yang disediakan di Jabatan Kecemasan bagi membantu mangsa krisis secara bersepadu.  Ia menggabungkan kerjasama antara pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk membantu  menyelesaikan masalah mangsa penderaan seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, rogol dan liwat.  Pihak-pihak yang terlibat selalunya ialah Hospital, Jabatan Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Undang-undang Mahkamah serta NGO.  Semua pihak akan bekerjasama dibawah satu bumbung bagi memudahkan urusan mangsa sehingga selesai. 
 
Mangsa akan dimasukkan terus ke dalam bilik OSCC sebaik sahaja ditriage tanpa perlu menunggu di ruang menunggu Jabatan Kecemasan. Pendaftaran akan dilakukan oleh anggota/waris yang mengiring mangsa dan pemeriksaan tanda vital akan dilakukan di dalam bilik OSCC oleh anggota yang bertugas, sebelum mangsa diperiksa oleh pegawai perubatan. Rujukan ke jabatan yang berkaitan akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas sekiranya perlu.
 
Fungsi OSCC termasuklah memberi rawatan dan pemeriksaan, mengambil spesimen yang diperlukan, mengambil keterangan, memberi kaunseling, perlindungan dan juga bantuan guaman.  Oleh itu bengkel yang akan diadakan nanti adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada kakitangan perubatan lain cara mengendalikan kes, teknik pengambilan dan pengendalian spesimen, cara mengendalikan pakaian mangsa dan borang-borang yang diguna pakai dalam pengendalian kes.
 
 
 
 

3 May 2016

Tugasan



Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto ;  Carian Google

#  Entri 23


 
Malam ini terbuka hati untuk menyambung tugasan-tugasan yang sudah agak lama tergendala iaitu memasukkan rakan-rakan ke dalam senarai blog pengasas dan guru online. Ada dalam 100 rakan yang perlu di masukkan tetapi baru berjaya masukkan lebih kurang 10 orang rakan. Adakah rakan-rakan blog seperti saya ini yang sangat lambat menyiapkan tugasan yang berikan.
 
Masalah utama yang selalu menyekat untuk saya mengemaskini blog ialah talian internet di kawasan kampung yang selalu bermasalah.  Kadang kala dalam seminggu talian internet langsung tidak ada, kadang kala pula ada talian tetapi sangat perlahan.  Hendak menyiapkan satu entri mengambil masa yang lama sebab 'loading' yang lama.  Masalah kedua ialah komputer, oleh kerana talian internet yang terlalu perlahan menyebabkan komputer tidak dapat diguna sebab talian internet sangat terhad. Komputer riba pula hak milik encik suami  dan hanya boleh guna bila waktu malam sahaja sebab dibawa ke tempat kerja.  Bila malam pulak halangannya saya yang bekerja shif dan bila dapat shift petang dan malam saya tidak dapat mengemaskini blog selain rasa penat bila sudah balik dari bekerja.
 
Kekangan dari anak-anak pulak yang selalu mengganggu konsentrasi menaip bila mereka masih berjaga. Itu adalah antara beberapa faktor kenapa saya lambat sangat menyiapkan tugasan yang diberikan.  Penggunaan blog memang baik dalam meluahkan perasaan sedih, gembira dan banyak lagi yang boleh dikongsi dengan pembaca semua. 

2 May 2016

Pengurusan Masa




Foto  :  Carian Google
Teks  :  Rosnia Dahlan


#  Entri 22

Pernahkah anda menghadapi masalah masa tidak mencukupi? Walhal kita semua memiliki masa 24 jam sehari.  Bercerita tentang masa ini saya akui saya pun tergolong dalam mereka yang kurang bijak dalam mengurus masa.  Setiap kita mempunyai kesibukan masing-masing tanpa mengenal darjat.  Kita mempunyai tugasan untuk disiapkan dan kita terkejar-kejar masa untuk menguruskan kehidupan kita.  Begitu pentingnya pengurusan masa sehinggakan pelbagai tips pengurusan masa telah dikongsikan di internet dan buku-buku motivasi juga dihasilkan sebagai rujukan kepada kita.  Pengurusan masa yang baik bermaksud mampu menguruskan masa secara berkesan dalam melakukan aktiviti seharian dengan hasil yang membanggakan. 

Mengurus masa dengan berkesan adalah sangat penting dalam hidup seseorang dan begitu juga dengan masa itu sendiri yang amat penting di dunia ini sehingga wujud kata perbandingan yang menilaikan masa itu seperti emas.  Di dalam al Quran juga menyentuh tentang pentingnya mengurus masa dengan baik.  Antara ayat yang menyentuh berkaitan masa adalah seperti berikut, Maksudnya :  Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".  Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan masa mereka tidak berlalu dengan sia-sia sahaja namun tidak kurang juga yang gagal dalam menguruskan masa dengan sempurna sehingga masa itu berlalu tanpa ada hasil yang boleh dibanggakan.
 
Lagi molek jika dapat seimbangkan masa kita untuk hal duniawi dan akhirat.  Semoga kita tergolong di kalangan orang yang tidak rugi didunia.  Dan semoga setiap hari adalah merupakan hari yang lebih baik buat kita semua.


JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign