Teks : Rosnia Dahlan
Foto : Carian Google
# Entri 46
Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu. Di hujung minggu begini selalunya sibuk dengan aktiviti mengemas rumah, mencuci pakaian, mencantas bunga dan masa inilah juga masa untuk berkumpul bersama anak-anak. Kalau hari biasa masing-masing sibuk dengan kerja dan anak-anak pun bersekolah. Bila malam hari pula anak-anak sibuk menyiapkan kerja sekolah dan kelihatan letih setelah seharian di sekolah. Kedengaran riuh rendah rumah dengan suara anak-anak bermain. Melihat telatah anak-anak teringat zaman dahulu, bila waktu petang berkumpul dengan rakan-rakan untuk bermain permainan seperti konda kondi, layang-layang, guli, galah panjang dan sebagainya, Rakan-rakan pun ramai sebab sekampung dan juga merupakan rakan sekolah. Namun tinggal di bandar ini lain juga suasananya, masing-masing dengan hal sendiri. Oleh itu anak-anak pun lebih suka bermain dalam rumah berbanding di luar rumah. Keadaan persekitaran yang kurang selamat juga menghadkan pergaulan anak-anak di luar rumah. Ini menyebabkan kanak-kanak lebih suka bermain dengan gadjet berbanding dengan permainan yang menggunakan fizikal.
Bercakap tentang gadjet, kebanyakan anak-anak terdedah dengan peranti ini seawal-awal usia mereka bergantung kepada tindakan ibu bapa. Jangan terkejut kalau saya katakan ada kanak-kanak sekecil 2 tahun terlalu ketagih dengan telefon pintar hingga hilang keinginan untuk bersosial sama ada berkawan dengan kanak-kanak sebaya ataupun bergaul dengan ahli keluarga yang lebih dewasa, Anak-anak juga hilang selera makan dan masa tidur juga terganggu kerana terlalu asyik bermain gadjet. Sekarang ini tak pelik kalau kita melihat kanak-kanak usia 6 tahun sudah memakai cermin mata. Mungkin disebabkan oleh faktor lain tetapi membiarkan menggunakan komputer dan gadjet dengan kerap juga adalah faktor penyumbang. Kanak-kanak ini biasanya menumpukan dengan permainan yang bersungguh-sungguh dan dengan jarak penglihatan yang dekat. Ramai juga ibu bapa yang suka menggunakan teknologi moden seperti komputer, televisyen, telefon pintar untuk mengalihkan perhatian anak-anak supaya tidak mengganggu aktiviti-aktiviti yang dilakukan di rumah.
Anak saya pun sangat suka bermain dengan gadjet. Kadangkala sampai gaduh dengan anak sebab masa kita hendak guna masa itu jugalah dia hendak juga. Kadangkala saya bertegas juga biarkan saja mereka menangis dan bila rasa letih mereka akan senyap juga. Lucu juga bila fikirkan semula namun begitulah hakikatnya. Tidak salah jika anak-anak didedahkan dengan peranti ini tetapi perlu ada pengawasan dari ibu bapa. Anak-anak tidak boleh diberi kebebasan sepenuhnya untuk meneroka dengan sendirinya gadjet tersebut. Ini kerana anak-anak belum lagi dapat membezakan baik dan buruk sesuatu yang dilakukan. Anak-anak akan menjadi kreatif dengan penggunaan gadjet tetapi tidak sehebat sekiranya mereka didedahkan dengan permainan yang memerlukan penglibatan fizikal. Dalam lingkungan umur 1 hingga 3 tahun berlakunya perkembangan minda yang pesat dan pada masa inilah minda mereka perlu diisi dengan seberapa banyak informasi yang boleh membentuk imej diri mereka.
Bolehlah dikatakan dalam zaman yang serba moden ini tidak dinafikan gadjet terkini adalah penting. Walau bagaimanapun seawal usia anak bukanlah menjadi satu keperluan untuk memahirkan anak-anak dengan aplikasi dan kecanggihan teknologi yang ada. Pemantauan yang berterusan, bersifat tegas, tidak memberi hakmilik gadjet kepada anak-anak dan elak anak dari bermain 'games' yang ada unsur ketagihan adalah beberapa perkara yang perlu diambil kira untuk mengawal anak-anak. Apa yang paling penting adalah penerapan nilai-nilai murni dan kasih sayang kepada mereka yang akhirnya akan melahirkan anak-anak yang bijak pandai dari segi akademi, rohani dan jasmani.
Wassalam,
Jumpa dientri seterusnya......
No comments:
Post a Comment