JURNAL SEORANG MISI: CERITA SEDIH DI BULAN RAMADHAN

18 Jun 2016

CERITA SEDIH DI BULAN RAMADHAN




Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri  44

Assalamualaikum dan salam hormat. Salam di bulan ramadhan,  Terima kasih kepada pembaca blog kerana sudi singgah ke blog saya dan doakan semoga saya terus istiqamah untuk berkongsi idea serta pengalaman kepada anda.

Cerita sedih semalam yang begitu menusuk naluri sebagai seorang ibu.  Pertengahan bulan ramadhan para ibu sedang sibuk mengemas rumah, membersihkan rumah, membuat kuih raya dan tidak kurang juga yang sibuk mencari baju raya untuk persediaan raya yang bakal menjelma dalam 2 minggu lagi. Pejam celik tidak terasa masa terus berlalu, sudah 2 minggu umat Islam berada di bulan ramadhan dan mengerjakan ibadah yang sangat dituntut agama.

Petang semalam saya bertugas waktu petang.  Selepas mengerjakan solat asar lebih kurang pukul 4pm seorang ibu berlari sambil menangis membawa anaknya yang berumur setahun lebih dalam keadaan tidak sedar diri dan keadaan jabatan menjadi sibuk cuba untuk menyelamatkan nyawa anak tersebut.  Selepas resusitasi dibuat dalam masa setengah jam, anak itu gagal diselamatkan.

Anak kecil itu sebenarnya telahpun meninggal sewaktu dalam perjalanan ke hospital dan usaha untuk menyelamatkan nyawanya gagal.  Menurut cerita si ibu dia sedang membersihkan rumahnya dan meninggalkan baldi yang berisi air di ruang tamu.  Sepeninggalannya anak kecil ini telah pun masuk ke dalam baldi ini dan lemas.  Cerita sedih ibu ini sangat menusuk hati.

Dalam sibuk membersihkan rumah nyawa anak melayang.  Apakah makna raya jika nyawa anak hilang atas sebab kesilapan kita sendiri.  Saya teringat anak kecil yang saya tinggalkan di rumah pengasuh.  Semoga Allah mempermudahkan urusan kita.  Ajal maut telah ditentukan olehNya semoga ibu ini terus tabah meneruskan kehidupan.  Masih terngiang-ngiang di telinga si ibu ini meratapi anaknya serta menyalahkan anak-anak yang lain sebab keluar rumah dan meninggalkan si ibu dan adik sahaja di rumah.  Suami pula berada jauh kerana mencari rezki.

Semoga cerita sedih menjadi iktibar buat kita yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.  Jangan anak dibiarkan tanpa pengawasan kerana sifat semulajadi anak yang ingin tahu dan tidak dapat beza perkara yang membahayakan nyawa.  Anak tiada galang ganti, hal rumah boleh dikemudiankan dan tidak akan ada penghujungnya.  Moga ibu ini tabah menghadapi hari-hari mendatang.  Anggaplah ia ketentuan Ilahi dan ada kebaikan yang menanti.  Allahu Akbar.














No comments:

Post a Comment

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign