JURNAL SEORANG MISI: April 2016

27 Apr 2016

IKON JURURAWAT





 
 
 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 21
 
 
 
Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa.  Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari sebelumnya.  Dan semoga para pembaca yang budiman diluar sana lebih ceria seceria mentari pagi yang sedang bersinar.  Dan bersyukur juga kita ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang bertemu di dalam blog ini dan berpeluang meneruskan penulisan dalam blog.  Menghitung hari detik demi detik dan begitu juga cepatnya masa berlalu tanpa menunggu sesiapa.  Hanya tinggal 2 minggu lagi para jururawat seluruh dunia akan menyambut hari jururawat
 
Para jururawat jika ditanya tentang ikon kejururawatan dunia pasti akan mengingati sebuah nama yang begitu unggul iaitu Florence Nightingale.  Seorang jururawat kelahiran Italia yang lahir pada 12 Mei 1820. Beliau juga dikenali sebagai ' The Lady with the Lamp'.  Namun begitu bagi umat Islam kita juga perlu mengetahui bahawa telah lahir lebih awal lagi seorang srikandi di zaman Nabi Muhammad S.A.W yang lebih awal menempa kecemerlangan dalam dunia kejururawatan.  Beliau ialah Rufaidah binti Sa'ad al-Aslami yang juga telah diiktiraf sebagai jururawat muslimah yang pertama dalam Islam. 
 
Rufaidah bukan sahaja menjalankan tugas sebagai jururawat tetapi juga melaksanakan tugas komuniti dan mencari punca pelbagai masalah sosial.  Beliau dilahirkan di Yathrib Madinah.  Beliau dilatih sendiri oleh ayahnya yang merupakan seorang doktor pada waktu itu,  Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar tentera yang cedera parah dirawat oleh Rufaidah. Rufaidah digambarkan memiliki keperibadian yang luhur dan simpati kepada semua orang dan melayani pesakit dengan baik.
 
Oleh yang demikian jika dunia moden kini menyanjungi Florence Nightingale sebagai jururawat tersohor kerana sumbangannya yang merawat para tentera British, seharusnya kita sebagai muslim juga perlu berbangga dan menyanjungi serta menjadikan Rufaidah binti Sa’ad sebagai ikon, seorang jururawat hebat dan cemerlang yang telah mempelopori dunia perawatan ini 1300 tahun lebih awal sebelum Florence Nightingale. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Pakaian Seragam Jururawat (KKM)

 


 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 20
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman.  Agak lama juga saya tidak kemaskini blog.  Saya terjumpa foto diatas dalam Mr. Google sewaktu sibuk mencari bahan maklumat untuk kertas kerja. Cuba lihat  kenyataannya iaitu pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Mungkin ramai juga yang suka dan pernah terlihat foto ini kan.  Jika dilihat sebarang pertukaran baju jururawat adalah mengikut perubahan zaman.  Pakaian jururawat sering bertukar fesyen mengikut kesesuaian zaman.
 
Pengalaman saya dalam perubahan baju dibidang kejururawatan ini pun sudah beberapa kali bertukar.  Kini tidak ada lagi yang menggunakan baju dress. Baju seragam sekarang lebih kepada menutup aurat sejajar dengan perubahan zaman.  Pakaian yang paling belakang itulah yang kini sedang digunakan oleh Jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia.
 
Terima kasih kepada yang empunya foto, sebab melalui foto ini kita dapat mengetahui tentang jenis-jenis pakaian jururawat yang digunakan dari dahulu hingga kini dan kitapun boleh berkongsi pengetahuan dengan anak-anak dan cucu cicit kita nanti. 


18 Apr 2016

HARI JURURAWAT





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 19

Si Mawar kuntum tumbuh melata,
Si pipit hinggap di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembahkan pembuka bicara.
 
 
Pembuka kata bermula dengan pantun bagi memvariasikan lagi blog ini.  Agak lama juga saya tidak ada entri yang baru.  Saya hendak bercerita tentang hari jururawat memandangkan tidak lama lagi hari jururawat akan disambut di seluruh dunia.  Hari jururawat disambut sebagai menghargai jasa bakti dan pengorbanan para jururawat yang telah memberi perkhidmatan kejururawatan kepada seluruh masyarakat. 
 
Setiap tahun pada 12 Mei seluruh dunia akan menyambut Hari Jururawat.  Mungkin ramai yang masih belum mengetahui kenapa ia disambut pada 12 Mei setiap tahun?  Setiap tarikh itu pasti ada sejarah yang tersendiri.  Tarikh ini merupakan tarikh kelahiran Florence Nightingale iaitu seorang pengasas jururawat  bagi warga barat yang dilahirkan pada 12 Mei 1820.  Beliau juga dikenali sebagai ' The Lady with the lamp' yang bermaksud 'Wanita bersama dengan lampunya'.  Ini kerana beliau selalu melawat pesakit pada waktu malam dengan lampunya bagi memberikan pertolongan kepada para askar yang tercedera dalam perang. 
 
Dunia barat berjaya mendapatkan tarikh ini sebagai tarikh penting bagi pengamal kerjaya kejururawatan. Florance Nightingale telah diwarwarkan sebagai tokoh jururawat dunia yang tersohor dan dikenali di mana-mana. Semua jururawat macam itu gigih menaburkan bakti tanpa mengira waktu. Meninggalkan keluarga demi untuk memenuhi kehendak, keperluan  dan melayan kerenah masyarakat yang sakit. 

Sama ada anda perasan atau tidak, lencana jururawat adalah berlambangkan lampu Florence Nightingale.  Mudah-mudahan tarikh 12 Mei ini akan memberikan kita seribu erti dan sejuta makna.  Erti menghormati dan makna menghargai segala sumbangan dan pengorbanan para jururawat khasnya Jururawat Malaysia.
 


 
 

12 Apr 2016

Stroke Haba

 
 
 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
#  Entri 18
 
Assalamualaikum para sahabat, para pembaca di luar sana.  Bertemu lagi kita di entri ini.  Sejak kebelakangan ini keadaan cuaca sangat panas. Malaysia mengalami pemanasan global atau fenomena ekuinoks dua kali setiap tahun pada bulan Mac dan September. Pada ketika itu matahari akan berada tepat di atas garisan Khatulistiwa dengan suhu paling panas terutama pada pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang.  Keadaan ini menyebabkan penyakit yang digelar strok haba sangat dikhuatiri akan dialami oleh masyarakat umum.  Jabatan Kesihatan kini mengambil langkah untuk membuat statistik bagi mengetahui jumlah masyarakat yang datang mendapatkan rawatan di hospital atau klinik-klinik kerajaan disebabkan oleh strok haba. 
 
Strok haba bermaksud peningkatan suhu badan melebihi dari paras normal.  Peningkatan suhu panas yang mendadak dan keterlaluan akan mengganggu fungsi sistem badan.   Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala, mual, denyutan nadi cepat, otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.  Keadaan yang paling dikhuatiri ialah seseorang itu boleh mati akibat komplikasi kepada sistem saraf otak. Secara normal badan kita akan mengeluarkan peluh melalui kulit bagi mengekalkan suhu normal. 
 
Strok haba boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi risiko hipertermia lebih tinggi buat warga tua, pesakit diabetes, orang obese dan pesakit yang menghidap hipertiroidisme. Oleh itu, penting untuk kita mengetahui tanda-tanda awal strok haba, cara rawat mangsa strok haba dan cara pencegahan strok haba.  Cuaca panas yang melampau tidak boleh dipandang ringan dan kesihatan harus dijaga supaya tidak membawa akibat yang teruk.
 
Sebagai individu perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan keadaan panas yang melampau sekarang ini.  Adalah dinasihatkan supaya menghadkan aktiviti luar rumah, tidak memakai pakaian tebal yang boleh menghalang pengeluaran haba, meminum banyak air tanpa mengira tahap aktiviti, meminum minuman isotonic kerana ia dapat menggantikan mineral dalam badan, memakai payung atau pelindung semasa keluar rumah dan banyak lagi.  Pendek kata seseorang itu perlu mengambil langkah untuk menyejukkan badan bagi mengelakkan mendapat strok haba.
 

 

6 Apr 2016

7 langkah pencucian tangan


 

Basuhlah tangan Dengan Betul




1. Basahkan tangan dan      2. gosok kedua-dua tapak   3. gosok setiap jari dan
   rataka...



 
 
Teks :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 17
 
 
Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia
Tentu anda tertanya-tanya kenapa saya meleetakkan foto diatas sebegitu besar sedangkan ia satu foto yang biasa sahaja.  Semua pun orang tahu mencuci tangan namun saya ingin menekankan tentang kepentingan mencuci tangan.  Jika anda berada di kawasan hospital terutamanya di hospital saya, anda akan ternampak foto teknik mencuci tangan di kebanyakan sinki yang berada di hospital,  Setiap bulan juga laporan mengenai kegagalan anggota untuk mematuhi arahan mencuci tangan perlu di hantar  dan anggota yang mewakili jabatan masing-masing akan dikenakan denda.  Audit senyap akan dilakukan hanya untuk mengetahui sama ada anggota mencuci tangan selepas menyentuh peakit.   Ini menunjukkan bahawa mencuci tangan sangat dititikberatkan di kalangan anggota kesihatan. 
 
Ada 5 perkara yang perlu dipatuhi berkaitan pencucian tangan iaitu sebelum menyentuh pesakit, selepas menyentuh pesakit, sebelum memulakan tatacara, selepas melakukan tatacara dan selepas memegang sekeliling.  Tujuannya adalah untuk mengurangkan mikroorganisma dari seseorang ke seseorang yang lain.  Namun begitu mencuci tangan bukannya hanya sekadar membasahkan tangan tetapi perlu mengikuti 7 langkah mencuci tangan menggunakan air dan sabun ataupun 'handrub'.  Bagi masyarakat umum pencucian tangan menggunakan sabun baik sebelum makan atau pun sebelum memulai pekerjaan, akan menjaga tubuh badan  dan mencegah penyebaran penyakit melalui kuman yang terdapat ditangan.

 
 Mencuci tangan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja namun impaknya sangat besar.  Kita pun selalu nampak iklan-iklan tentang pentingnya mencuci tangan.  Oleh itu mencuci tangan menggunakan sabun perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita agar kebersihan terjaga secara keseluruhan.  Berikut adalah 7 langkah mencuci tangan dan anda juga boleh merujuk dalam foto yang disertakan.
  1. Basahi kedua telapak tangan di bawah air yang mengalir dan ambil sabun kemudian usap dan gosok kedua telapak tangan secara lembut dalam kiraan 10
  2. Kemudian gosok juga bahagian belakang tangan secara bergantian
  3. Gosok sela-sela jari hingga bersih
  4. Bersihkan hujung jari secara bergantian dengan mengatupkan
  5. Gosok dan putar kedua ibu jari secara bergantian
  6. Letakkan hujung jari ke telapak tangan kemudian gosok secara perlahan
  7. Bersihkan kedua pergelangan tangan secara bergantian dengan cara memutar, kemudian diakhiri dengan membilas seluruh tangan dengan air bersih yang mengalir lalu keringkan.
  8.  

Pengalaman





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 16
 
Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu menjadi Jururawat Bidan Pelatih (NSM).  Untuk menjadi bidan seorang jururawat itu perlu lagi mengikuti kursus selama setahun.  Ini adalah merupakan kursus saya yang pertama selepas berkhidmat selama 3 tahun dalam bidang kejururawatan.  Sebut sahaja tentang bidan, teruja hendak sambut bayi.  Dalam kursus ini saya perlu memberi perkhidmatan dalam semua segi berkaitan dengan ibu dan anak termasuklah penjagaan antenatal (ibu hamil), sambut pelahiran,, postnatal (ibu selepas bersalin), penjagaan anak dan lawatan ke rumah.
 
Namun perkara yang tidak mampu saya lupa dan inilah pengalaman pahit dan manis saya iaitu menyambut pelahiran di rumah. Pengalaman menyambut pelahiran di rumah tidak sama dengan pengalaman di hospital.  Di hospital peralatan menyambut pelahiran serba lengkap dan dikelilingi oleh staf yang berpengalaman termasuk doktor-doktor yang mahir.  Namun di rumah peralatan adalah terhad dan staf yang terlibat hanya seorang sahaja.  Saya pada masa itu hanya seorang pelatih sahaja.  Terlalu banyak perbezaan jika difikirkan, keadaan sekeliling, peralatan, teknik pelahiran dan banyak lagi. 

Walau apapun perbezaannya, tujuannya tetap sama iaitu memastikan ibu dan bayi selamat tanpa sebarang masalah.  Pengalaman saya ini membuatkan saya hormat kepada misi-misi yang berpenat lelah menjalankan tugas di pedalaman semata-mata untuk membantu masyarakat kampung yang memerlukan khidmat mereka. 

1 Apr 2016

Penolong Pegawai Perubatan

 
 
 
 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google 
 
#  Entri 15
 
 
Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia.  Hari ini saya ingin berkongsi salah satu profesion yang ada di jabatan kami.  Sempena hari lahir mereka saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Penolong Pegawai Perubatan'.
 
Detik bersejarah buat semua Penolong Pegawai Perubatan (AMO) di seluruh Malaysia apabila setiap 10 Mac semua Penolong Pegawai Perubatan meraikan lahirnya Profesion Penolong Pegawai Perubatan yang dahulunya dikenali dengan Pembantu Perubatan.  Sebelum itu AMO juga dikenali dengan nama Dresser pada tahun 1786, kemudian ditukar kepada nama Pembantu Rumah Sakit (HA).
Pada tahun 1985 pula nama Pembantu Hospital (HA) telah ditukarkan dengan nama Pembantu Perubatan(MA) seiring dengan pembangunan kerjaya  dan sekali lagi nama mereka telah bertukar menjadi Penolong Pegawai Perubatan (AMO) pada tahun  2007 dan nama ini kekal sehingga kini. Pada awalnya profesion ini hanya dikhaskan untuk kaum Adam sahaja tetapi sekarang ini profesion ini telah juga membuka ruang dan peluang kepada kaum Hawa.
 



 
Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang profesion ini.  Foto diatas merupakan pakaian seragam AMO.  Sebenarnya, peranan AMO ini sangat besar di dalam sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia.  Mereka ini bertugas di Jabatan Kecemasan, Dewan Bedah, Klinik Pakar (mata, telinga, tekak), Unit Kardiak, Hemodialisis, Ortopedik (tulang) dan juga Klinik Kesihatan.  AMO ini diberi hak untuk melakukan tugas-tugas Pegawai Perubatan (Doktor) seperti mendiagnos pesakit, mempreskrip ubat kepada pesakit, dan melakukan pembedahan-pembedahan kecil seperti berkhatan, nail avulsion (buang kuku yang rosak/patah) dan menjahit luka-luka kecil.
 
Jika di Jabatan Kecemasan, merekalah orang barisan hadapan yang menilai keadaan pesakit sebelum berjumpa dengan doktor. Mereka membantu pihak doktor menapis pesakit-pesakit yang kritikal, semi kritikal dan yang tidak kritikal.  Mereka jugalah yang bergerak keluar jika terdapat panggilan ambulan.  Pendek kata tugas mereka sangat terserlah.  Jika di Klinik Kesihatan merekalah yang bertindak sebagai Doktor, membuat pemeriksaan,  memberi pengubatan kepada pesakit dan hanya merujuk kes-kes yang kritikal sahaja ke hospital.  Bagi masyarakat kampong dan pesakit yang tidak mengenali dengan pegawai ini, mungkin akan menganggap bahawa pegawai ini adalah doktor.
 
Selamat menyambut hari Penolong Pegawai Perubatan kepada semua AMO yang menyambutnya semoga profesion anda lebih maju dan semakin dikenali serta digeruni.















JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign