Teks : Rosnia Dahlan
Foto : Carian google
Entri 1
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia diucapkan kepada para pembaca.
Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya berkesempatan untuk menulis dalam blog ini. Salam perkenalan dari saya, Rosnia Dahlan yang berasal dari negeri di bawah bayu, Sabah. Sabah sudah tidak asing lagi didengar dan diketahui ramai kerana mempunyai gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat negeri Sabah. Di negeri inilah saya dilahirkan dan membesar hingga kini. Anak seorang peladang yang dibesarkan dalam kesederhanaan tetapi penuh dengan kasih sayang dari ibu dan bapa.
Anak bongsu dari 6 orang adik beradik telah mendapat pendidikan rendah dan menengah di Tawau sehingga Tingkatan 6. Selepas tamat belajar telah memohon untuk mengikuti Diploma Kejururawatan di Sandakan Sabah. Pilihan dibuat bukan sebab minat tetapi kerana ingin membantu orang tua yang sudah pencen dan hanya meneruskan kehidupan menggunakan wang KWSP Tidak terlintas dalam hati ingin menceburkan diri dalam bidang ini tapi semua adalah ketentuanNya. Dalam 3 tahun berkursus, disitulah timbul rasa ikhlas ingin membantu masyarakat yang memerlukan perhatian, memerlukan bantuan dari segi penjagaan, nasihat dan banyak lagi. Selepas tamat kursus saya ditempatkan bertugas di kampung sendiri. Alhamdulillah syukur atas nikmatNya, senanglah saya menjaga orangtua dan tidak perlu bersusah payah hidup di tempat orang. Maka bermulalah hidup sebagai seorang jururawat terlatih. Terlalu banyak pengalaman, pengajaran serta cabaran yang dilalui selama bergelar seorang jururawat
Selepas 7 tahun bertugas, saya telah mengambil keputusan untuk menyambung pendidikan dalam bidang yang sama ke peringkat ijazah. 3 tahun belajar sambil bekerja adalah satu pengalaman yang mencabar. Masa kerja yang tidak menentu, kadang shif petang, pagi, malam dan ditambah lagi ingin menyiapkan tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar sangat mencabar diri. Namun dengan semangat ingin maju ke hadapan digagahkan juga diri ini untuk menempuh segala onak dan duri. Akhirnya berjaya juga menamatkan pengajian dan memegang segulung ijazah.
Tugasan sebagai seorang jururawat diteruskan sehinggalah sekarang dan kini sudah berbelas tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam. Dalam ulang alik ke tempat kerja saya selalu perhatikan suri rumah yang tidak perlu mengejar-ngejar masa untuk pergi bekerja, dapat mengurus anak mereka pergi ke sekolah, banyak masa dengan keluarga berbanding dengan saya yang kerja tidak tentu masa.
Anak yang masih kecil terpaksa dihantar ke rumah keluarga terdekat kerana tidak ada pembantu rumah. Suami pula kerja jauh dan terpaksa keluar seawal subuh untuk berulang alik ke tempat kerja. Saya selalu terfikir sampai bila hendak makan gaji dan terikat masa bekerja. Hati selalu berkata ingin berniaga sebab berniaga duit dapat setiap hari. Oleh itu saya dan suami memulakan bisnes separuh masa mengikut kehendak pelanggan seperti emas, telefon bimbit dan barangan elektrik. Pejam celik pejam celik sekarang dah masuk setahun lebih menguruskan bisnes secara separuh masa. Walaupun pulangan tidak seberapa tapi alhamdulillah dapat menambah sedikit pendapatan.
Oleh sebab itu saya ingin berjinak-jinak untuk membuat bisnes online bagi menambah pendapatan sampingan tetapi tidak tahu cara dan produk yang ingin dijual dalam talian. Saya asyik membelek facebook, buka google untuk mencari idea bagaimana ingin memulakan bisnes online, bisnes yang menjadi pilihan masyarakat kini. Saya berharap sangat dengan menyertai ABDR ini, saya mendapat ilmu yang banyak tentang selok belok pengurusan bisnes online bagi meraih pendapatan sampingan sebab saya boleh dikatakan zero dalam bisnes online. Dengan tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru-guru yang lebih berpengalaman saya mengharapkan sesuatu yang bermakna untuk saya berjaya dalam bisnes online dan menjadi pembakar semangat setiap masa. Semoga Allah mempermudah urusan ini dan usaha saya ini diredhai dan dirahmati oleh Nya. In Sya Allah.
Terima kasih yang tak terhingga kepada cikgu Anys Idayu Zakaria kerana sudi menjadi pembimbing dalam kelas ABDR ini.
Salam Perkenalan, Salam Ukhuwah,
Jumpa di entri seterusnya.
No comments:
Post a Comment