JURNAL SEORANG MISI: Aktiviti harian

28 Jan 2016

Aktiviti harian





#  Entri 4
 
 
Hari ini seperti biasa bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan anak ke sekolah.  Sudah sebulan anak yang ketiga ini bersekolah tadika.  Anak tidak mahu bawa nasi jadi hari ini saya hanya sediakan nugget.  Mungkin rakan sekelasnya ada yang membawa nugget, jadi semalam dia sibuk suruh beli nugget untuk dibawa ke sekolah.
 
Seperti biasa dia juga akan bangun awal dan saya bersyukur sebab dia tidak pernah meragam untuk pergi ke sekolah.  Sebelum mandi dia akan menyusu dahulu dan inilah tabiatnya yang tidak boleh hilang dan begitu juga bila balik dari sekolah.  Saya layan sahaja permintaannya dan tidak mahu merosakkan 'mood' untuk pergi ke sekolah.   Saya menghantar anak ketiga ini pergi ke sekolah pada pukul 7 pagi sebab sekolah buka pada pukul 7.30 pagi.  Untuk menghantar dan mengambilnya dari sekolah, saya terpaksa membawa 2 orang lagi adiknya  termasuk seorang yang baru berusia sebulan lebih.  Untunglah yang bayi ini tidak meragam diperjalanan.  Saya hanya membaringkan bayi saya ini di kerusi hadapan dan begitulah dia tertidur sehinggalah sampai semula ke rumah. 
 
Anak-anak yang lain menaiki bas sekolah sebab saya tidak mahu terikat untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah sebab saya pun bekerja dan terikat dengan peraturan.  Sekarang ini saya masih bercuti jadi dapatlah mengurus anak yang bersekolah tadika ini.  Bila saya bekerja nanti terpaksalah dipanjangkan masa persekolahannya hingga ke pukul 5 petang .  Sekolah itu menyediakan tempat penjagaan hingga pukul 5 petang untuk ibubapa yang tidak dapat mengambil anak mengikut masa yang ditetapkan.  Lagipun ada aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk mereka sepanjang berada di sekolah itu.  Saya bersyukur sangat Allah mempermudahkan urusan kami.
 
Mula-mula bersekolah anak saya senyap sahaja bila balik ke rumah.  Bila ditanya apa yang dipelajari di sekolah, dia hanya tersenyum ataupun mengubah topik perbualan dan pernah terus pergi tidur bila ditanya.  Namun setelah beberapa hari bersekolah barulah dia banyak mulut dan setiap hari akan ada bahan ceritanya mengenai aktivitinya di sekolah.  Semoga beliau menjadi seorang anak yang berguna kepada ibubapa, agama dan masyarakat, aminn.....

No comments:

Post a Comment

JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign