JURNAL SEORANG MISI: January 2016

28 Jan 2016

Aktiviti harian





#  Entri 4
 
 
Hari ini seperti biasa bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan anak ke sekolah.  Sudah sebulan anak yang ketiga ini bersekolah tadika.  Anak tidak mahu bawa nasi jadi hari ini saya hanya sediakan nugget.  Mungkin rakan sekelasnya ada yang membawa nugget, jadi semalam dia sibuk suruh beli nugget untuk dibawa ke sekolah.
 
Seperti biasa dia juga akan bangun awal dan saya bersyukur sebab dia tidak pernah meragam untuk pergi ke sekolah.  Sebelum mandi dia akan menyusu dahulu dan inilah tabiatnya yang tidak boleh hilang dan begitu juga bila balik dari sekolah.  Saya layan sahaja permintaannya dan tidak mahu merosakkan 'mood' untuk pergi ke sekolah.   Saya menghantar anak ketiga ini pergi ke sekolah pada pukul 7 pagi sebab sekolah buka pada pukul 7.30 pagi.  Untuk menghantar dan mengambilnya dari sekolah, saya terpaksa membawa 2 orang lagi adiknya  termasuk seorang yang baru berusia sebulan lebih.  Untunglah yang bayi ini tidak meragam diperjalanan.  Saya hanya membaringkan bayi saya ini di kerusi hadapan dan begitulah dia tertidur sehinggalah sampai semula ke rumah. 
 
Anak-anak yang lain menaiki bas sekolah sebab saya tidak mahu terikat untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah sebab saya pun bekerja dan terikat dengan peraturan.  Sekarang ini saya masih bercuti jadi dapatlah mengurus anak yang bersekolah tadika ini.  Bila saya bekerja nanti terpaksalah dipanjangkan masa persekolahannya hingga ke pukul 5 petang .  Sekolah itu menyediakan tempat penjagaan hingga pukul 5 petang untuk ibubapa yang tidak dapat mengambil anak mengikut masa yang ditetapkan.  Lagipun ada aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk mereka sepanjang berada di sekolah itu.  Saya bersyukur sangat Allah mempermudahkan urusan kami.
 
Mula-mula bersekolah anak saya senyap sahaja bila balik ke rumah.  Bila ditanya apa yang dipelajari di sekolah, dia hanya tersenyum ataupun mengubah topik perbualan dan pernah terus pergi tidur bila ditanya.  Namun setelah beberapa hari bersekolah barulah dia banyak mulut dan setiap hari akan ada bahan ceritanya mengenai aktivitinya di sekolah.  Semoga beliau menjadi seorang anak yang berguna kepada ibubapa, agama dan masyarakat, aminn.....

Menulis Blog


 






Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
# Entri 3
 
Sungguh tidak terasa begitu cepatnya masa berlalu tanpa dapat dikawal.  Ini bermakna sudah hampir sebulan saya menjadi ahli keluarga ABDR.  Namun begitu saya tidak dapat menggunakan masa sebaik mungkin, terbukti hanya mampu menyiapkan 3 entri dalam masa sebulan.  Bagi diri ini terasa susah untuk fokus dan konsisten untuk menulis dalam blog.  Saya selalu membaca status-status yang Cikgu Anys kirimkan iaitu meluangkan masa sedikit setiap hari untuk menulis blog.  Berkongsi dengan para pembaca dengan ikhlas dan mulakan menulis blog dengan catatan harian dan catatan pengalaman untuk belajar menulis  Jadikan menulis blog sebagai satu tabiat ataupun rutin harian supaya kita dapat mengemaskini blog kita setiap masa dan supaya ada perkongsian atau cerita-cerita baru yang dapat dikongsi.  Status-status yang beliau kongsikan sentiasa menaikkan semangat saya untuk menulis walaupun disiplin diri sangat kurang. 

Saya ada membaca blog rakan-rakan yang lain yang berkongsi tentang bisnes-bisnes yang diusahakan, pengalaman-pengalaman semasa menjalankan bisnes dan rata-ratanya mempunyai bisnes yang sudah berjaya diusahakan.  Perkongsian ini menaikkan semangat untuk menjadi seperti mereka yang berjaya. Menjadikan blog untuk berkongsi hal-hal perniagaan dengan para pembaca.
 
Namun seringkali saya terfikir bolehkah saya menyiapkan 44 entri sedangkan jarang menulis blog.  Bagaimana saya boleh mahir menulis jika jarang dipraktiskan.  Masuk sebulan hanya dapat menyiapkan 3 entri dan sangat jauh lagi perjalanan untuk menyiapkan 44 entri. Maklumat kurang dikongsikan dan kurangnya idea untuk menulis blog.  Ditambah lagi dengan kerja-kerja rumah dan penjagaan anak yang tiada habisnya menjadikan masa kurang diperuntukkan untuk menulis blog.

Apapun alasan saya terpaksa juga mengharungi cabaran ini untuk menyiapkan hingga ke entri 44 sebagai latihan menulis.  Saya perlu bersemangat untuk mengubah cara hidup semoga apa yang diimpikan dan dilakukan sekarang akan mendapatkan hasil dikemudian hari.  Seperti menanam buah, tidak semestinya kita tanam hari ini, esok dapat kutip hasil.  Hasil itu biarlah yang boleh dibanggakan untuk keluarga, yang boleh mendatangkan pulangan yang lumayan.  Tetapi ada juga pepatah orang zaman kini iaitu kalau boleh cepat kenapa kita nak pilih jalan yang lambat.  Apapun semua itu terpulang kepada rezki seseorang yang penting terus berusaha untuk maju kehadapan. 

 

22 Jan 2016

Kerjaya sebagai Jururawat







Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


 
#  Entri 2
 
 
Kerjaya sebagai jururawat penting dalam menjaga masyarakat yang sakit dan memerlukan bantuan namun tidak semua masyarakat menghargai profesion ini.  Kerjaya ini memerlukan satu pengorbanan yang tinggi serta kesabaran menghadapi pelbagai ragam dan kerenah bukan sahaja dari pesakit tetapi juga dari ahli keluarga pesakit, doktor, rakan sekerja selain perlu memenuhi setiap arahan dan perintah dari pihak atasan.  Bahkan setiap peraturan perlu dipatuhi setiap masa dan ketika. 

Meninggalkan keluarga untuk pergi bekerja secara shif pagi, petang dan malam bagi memastikan segala keperluan pesakit dijaga sebaik mungkin adalah satu pengorbanan yang besar nilainya,  Ada sesetengah orang menganggap bahawa profesion sebagai jururawat ibarat 'pembantu rumah' yang menguruskan segala keperluan pesakit.  Namun pengorbanan ini sering dipandang sepi.  Tidak semua orang mampu melaksanakan tugas seperti mana yang dilakukan oleh seseorang yang bergelar jururawat dan disebabkan itu juga, memilih untuk menjadi seorang jururawat bukanlah cita-cita yang diimpikan oleh semua orang sehingga ada segelintir masyarakat menganggapnya sebagai kerjaya pilihan terakhir.  Persepsi ini membuatkan profesion jururawat menjadi kurang menonjol.

Islam adalah perintis dalam usaha mewujudkan kerjaya jururawat walaupun ketika itu ia bukanlah dalam bentuk rasmi seperti sekarang ini.  Di zaman Rasulullah SAW, beliau tidak pernah menegah muslimah untuk turut sama menyertai misi ke medan perang dan pembabitan mereka membantu merawat pejuang yang tercedera.  Mereka membawa ubat untuk mengubati mangsa yang tercedera, menyediakan makanan dan minuman untuk mereka yang bertempur dan juga mereka bersiap sedia berjuang di jalan Allah.  Pada mulanya perkembangan dalam bidang kejuruawatan ini memang agak perlahan.  Dalam tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, kerjaya ini tidak menarik minat ramai kerana bidang ini dianggap sebagai ' kelas rendah'.  Dalam era itu jururawat hanya menjalankan tugas ringkas seperti memandikan serta menyuapkan makanan pada pesakit, membersihkan luka atau hanya memberikan ubat seperti yang diarahkan oleh doktor.

Masa terus beredar dan kini terdapat banyak bidang khas yang memerlukan jururawat pakar dan negara mempunyai ramai jururawat pakar dalam pelbagai cabang perubatan seperti perbidanan, rawatan intensif, rawatan koronari, trauma dan juga pemulihan.  Jururawat professional menggunakan pengetahuan, kecekapan, kreativiti serta kata hati mereka untuk menjaga pesakit dan juga memberi keyakinan serta harapan kepada mereka yang bersedih dan berputus asa.

Jururawat perlu memiliki sifat peribadi mulia kerana bidang ini adalah bidang kemanusiaan.  Meskipun dihambat aneka kerenah gelagat pesakit, namun jiwa seorang jururawat harus kebal dengan dugaan dan cabaran itu.  Bersengkang mata bertugas di syif malam begitu mencengkam perasaan, apatah lagi bila berjauhan dengan keluarga, namun itulah watak seorang jururawat yang mesti terus bersabar dan menganggap kerjaya itu sebagai ruang dan peluang untuk mengaut amalan berpahala di sisi Allah.  Kerjaya ini boleh dijadikan sebagai 'batu loncatan' dalam memperbanyakkan amalan berpahala dan mengharap keredaan Allah.  Semua bekerja atas ikrar seorang jururawat yang akan memberikan khidmat terbaik untuk kesembuhan seorang pesakit. 

Tidak dinafikan bahawa pekerjaan ini adalah satu tugas yang mulia, namun terpulanglah kepada individu tersebut bagaimana mentakrifkan nilai kemuliaan itu.  Ada yang melihat kesanggupan dan kesabaran jururawat berjaga malam semata-mata untuk memastikan keadaan pesakit stabil sebagai satu kemuliaan.  Ada juga yang melihat kemuliaan ini dari segi kesanggupan seorang jururawat yang bergelumang dengan darah dan bahan kumuhan dan tidak kurang juga yang menganggap bahawa kerelaan jururawat dalam meredah hutan dan mengharungi sungai untuk memberi perawatan kepada komuniti terpencil sebagai satu tugas mulia.

Namun tidak kira sama ada anda orang biasa atau berpangkat besar, orang kaya mahupun orang miskin, pasti ada satu masa dan ketika dalam hidup anda untuk dekat dengan insan ini.  Mungkin pada hari biasa, insan itu tiada kepentingan buat semua, namun apabila ada ahli keluarga, saudara tedekat, mahupun diri sendiri terlantar di hospital dan memerlukan rawatan nama insan inilah yang sentiasa bermain di bibir setiap kali memerlukan sesuatu.  Insan inilah yang akan sering dipanggil dan sedia membantu disaat tiada seorang pun ahli keluarga mahupun anak-anak yang berada disisi untuk membantu, disaat semuanya sibuk dengan pekerjaan dan sibuk dengan perihal keluarga masing-masing.  Namun, sejauh manakah kita menghargai insan ini?

Jadi anda bagaimana?

Jumpa saya di entri selanjutnya.....

Wassalam

 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

15 Jan 2016

Pengenalan Diri







Image result for jururawat



Teks : Rosnia Dahlan
Foto : Carian google




Entri 1

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia diucapkan kepada para pembaca.

Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya berkesempatan untuk menulis dalam blog ini.  Salam perkenalan dari saya, Rosnia Dahlan yang berasal dari negeri di bawah bayu, Sabah.  Sabah sudah tidak asing lagi didengar dan diketahui ramai kerana mempunyai gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat negeri Sabah. Di negeri inilah saya dilahirkan dan membesar hingga kini. Anak seorang peladang yang dibesarkan dalam kesederhanaan tetapi penuh dengan kasih sayang dari ibu dan bapa.

Anak bongsu dari 6 orang adik beradik telah mendapat pendidikan rendah dan menengah di Tawau sehingga Tingkatan 6.  Selepas tamat belajar telah memohon untuk mengikuti Diploma Kejururawatan di Sandakan Sabah. Pilihan dibuat bukan sebab minat tetapi kerana ingin membantu orang tua yang sudah pencen dan hanya meneruskan kehidupan menggunakan wang KWSP  Tidak terlintas dalam hati ingin menceburkan diri dalam bidang ini tapi semua adalah ketentuanNya.   Dalam 3 tahun berkursus, disitulah timbul rasa ikhlas ingin membantu masyarakat yang memerlukan perhatian, memerlukan bantuan dari segi penjagaan, nasihat dan banyak lagi.  Selepas tamat kursus saya ditempatkan bertugas di kampung sendiri.  Alhamdulillah syukur atas nikmatNya, senanglah saya menjaga orangtua dan tidak perlu bersusah payah hidup di tempat orang.  Maka bermulalah hidup sebagai seorang jururawat terlatih.  Terlalu banyak pengalaman, pengajaran serta cabaran yang dilalui selama bergelar seorang jururawat

Selepas 7 tahun bertugas, saya telah mengambil keputusan untuk menyambung pendidikan dalam bidang yang sama ke peringkat ijazah. 3 tahun belajar sambil bekerja adalah satu pengalaman yang mencabar. Masa kerja yang tidak menentu, kadang shif petang, pagi, malam dan ditambah lagi ingin menyiapkan tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar sangat mencabar diri.  Namun dengan semangat ingin maju ke hadapan digagahkan juga diri ini untuk menempuh segala onak dan duri. Akhirnya berjaya juga menamatkan pengajian dan memegang segulung ijazah.

Tugasan sebagai seorang jururawat diteruskan sehinggalah sekarang dan kini sudah berbelas tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam. Dalam ulang alik ke tempat kerja saya selalu perhatikan suri rumah yang tidak perlu mengejar-ngejar masa untuk pergi bekerja, dapat mengurus anak mereka pergi ke sekolah, banyak masa dengan keluarga berbanding dengan saya yang kerja tidak tentu masa.
Anak yang masih kecil terpaksa dihantar ke rumah keluarga terdekat kerana tidak ada pembantu rumah. Suami pula kerja jauh dan terpaksa keluar seawal subuh untuk berulang alik ke tempat kerja. Saya selalu terfikir sampai bila hendak makan gaji dan terikat masa bekerja.  Hati selalu berkata ingin berniaga sebab berniaga duit dapat setiap hari.  Oleh itu saya dan suami memulakan bisnes separuh masa mengikut kehendak pelanggan seperti emas, telefon bimbit dan barangan elektrik. Pejam celik pejam celik sekarang dah masuk setahun lebih menguruskan bisnes secara separuh masa.  Walaupun pulangan tidak seberapa tapi alhamdulillah dapat menambah sedikit pendapatan.

Oleh sebab itu saya ingin berjinak-jinak untuk membuat bisnes online bagi menambah pendapatan sampingan tetapi tidak tahu cara dan produk yang ingin dijual dalam talian. Saya asyik membelek facebook, buka google untuk mencari idea bagaimana ingin memulakan bisnes online, bisnes yang menjadi pilihan masyarakat kini.  Saya berharap sangat dengan menyertai ABDR ini, saya mendapat ilmu yang banyak tentang selok belok pengurusan bisnes online bagi meraih pendapatan sampingan sebab saya boleh dikatakan zero dalam bisnes online.  Dengan tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru-guru yang lebih berpengalaman saya mengharapkan sesuatu yang bermakna untuk saya berjaya dalam bisnes online dan menjadi pembakar semangat setiap masa.  Semoga Allah mempermudah urusan ini dan usaha saya ini diredhai dan dirahmati oleh Nya. In Sya Allah.

Terima kasih yang tak terhingga kepada cikgu Anys Idayu Zakaria kerana sudi menjadi pembimbing dalam kelas ABDR ini.

Salam Perkenalan, Salam Ukhuwah,


Jumpa di entri seterusnya.









JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign