JURNAL SEORANG MISI: March 2016

26 Mar 2016

Kebersihan







Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google



#  Entri 14
 
 
Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.  Setelah beberapa lama suhu panas melanda tempat kita namun subuh hari hujan turun dengan lebatnya.  Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi di hari Jumaat yang baik ini akhirnya bumi Sabah basah disirami hujan.  Pada sebelah petang hujan turun lagi berlarutan hingga ke malam hari.  Di hari Jumaat ini merupakan cuti umum bagi Negeri Sabah sempena 'Good Friday'.  Oleh itu saya tidak perlu tergesa-gesa untuk pergi bekerja sebab jalan hari ini akan lengang dari kebiasaan.   Santai-santai saja pergi bekerja tanpa perlu melalui kesesakan lalu lintas. 
 
Tiba di tempat kerja seperti pesakit ini memahami, kurang juga yang datang tidak seperti hari yang biasa kawasan menunggu penuh dengan pesakit.  Hari ini seperti biasa setiap jumaat adalah hari untuk memeriksa kebersihan jabatan bersama dengan Ketua Pembersihan yang bertanggungjawab memastikan jabatan kami bersih.  Oleh kerana saya yang bertugas hari ini, maka menjadi tanggungjawab saya membuat rondaan di seluruh jabatan dan disetiap sudut bagi memastikan yang pihak kami berpuas hati dengan penjagaan kebersihan yang dilakukan.  Aduan akan dilakukan sekiranya didapati mereka gagal memenuhi kehendak jabatan bagi mengekalkan kebersihan.  Kiranya macam hotel lah perkhidmatan mesti tip top.
 
Kebersihan di jabatan kami sangat penting kerana ia melambangkan identiti dan budaya kita,
Sikap membudayakan amalan kebersihan adalah bukti kekuatan akidah seseorang dan disukai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:

Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”.
Hospital perlulah nampak bersih kerana ia merupakan tempat mendapatkan perkhidmatan kesihatan.  Inikan lagi jabatan kami adalah jabatan kecemasan yang merupakan tempat pertama yang dituju bagi mendapatkan khidmat segera untuk pesakit.  Berdasarkan pemerhatian, negara-negara maju mempunyai budaya menjaga kebersihan yang tinggi. Walaupun tidak beragama Islam tetapi mereka lebih mengambil berat aspek kebersihan sepertimana dianjur oleh Islam. Jadi, amalan kebersihan ini adalah amalan mulia berbentuk menyeluruh kerana Islam amat mementingkan kebersihan sama ada zahir atau batin.
 
 
 
 
 
 
 

17 Mar 2016

Demam Denggi









Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 13
Assalamualaikum semua,  Lama saya tidak menulis dalam blog ini memandangkan talian internet kurang bagus di kawasan saya.  Minggu lalu saya telah mengikuti kursus pendek iaitu 'dengue update'.  Tujuan kursus diadakan adalah untuk memberitahu tentang penambahbaikan dalam rawatan untuk pesakit yang mengalami demam denggi.  Penyakit yang nampak mudah tapi kesannya boleh membawa maut.  Itulah dia penyakit yang dibawa oleh sejenis nyamuk aedes betina.  Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).
Pepatah mengatakan mencegah itu lebih baik daripada mengubati, dan hakikat itu juga tidak terkecuali dalam membendung wabak denggi ini.  Di peringkat individu, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan tiada ruang untuk nyamuk aedes membiak di kawasan rumah atau kejiranan.  Paling menjadi keutamaan ialah memastikan tiada takungan air sama ada yang berpunca daripada bekas tadahan air, kolam, pasu bunga, tin-tin kosong, tayar buruk dan sebagainya.  Dalam rumah juga perlu bersih dan terang supaya nyamuk tidak bersembunyi dalam rumah.  Gunakan racun nyamuk untuk membunuh nyamuk dan kelambu bagi mengelakkan dari gigitan nyamuk.
Aspek kebersihan di kawasan persekitaran seperti mengurus sampah sarap dengan baik dan membersihkan longkang supaya tidak tersumbat juga perlu diberi perhatian. Malangnya dalam budaya hidup bermasyarakat hari ini, amalan-amalan murni bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan seperti itu tidak lagi begitu mendapat sambutan. Perkara yang lebih penting juga adalah memahami simptom-simptom penyakit demam denggi supaya rawatan awal dapat dilakukan. 

7 Mar 2016

Catatan Pengalaman



 


Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 12
 
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini.  Sudah beberapa hari tidak kemaskini blog.  Minggu ini merupakan minggu pertama saya kembali bertugas di Tahun 2016 selepas bercuti selama lebih kurang 2 1/2 bulan.  Terasa macam berat hendak melangkah ke alam pekerjaan setelah lama bercuti namun hati tetap digagahi kerana di sanalah peiuk nasi untuk saya sekeluarga. 
 
Saya bertugas di Jabatan Kecemasan. Sebut sahaja jabatan ini tentu anda terfikir bahawa jabatan ini memang sibuk setiap hari.  Kami adalah staf dibarisan hadapan yang bersemuka dengan pesakit sebab kebanyakan pesakit melalui jabatan kami untuk mendapatkan rawatan.  Tidak mudah sebenarnya bertugas di jabatan ini sebab lebih terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit dan kemarahan pesakit ataupun keluarga mereka. Banyak pengalaman-pengalaman di tempat kerja yang boleh dikongsikan sebab lain orang lain pengalaman kerjanya.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu bertugas shif malam, anggaran pada pukul 2 pagi apabila datang mangsa tetak kerana terlibat dalam pergaduhan antara dua kumpulan. Kejadian berlaku di sebuah pub apabila mangsa seorang lelaki telah di tetak pada bahagian pahanya menggunakan sebilah parang.  Dan kejadian tidak terhenti di situ kerana apabila mangsa di bawa ke Jabatan Kecemasan, seorang rakan mangsa pun ikut sama dan begitu juga dengan musuh mereka.  Rakan mangsa terpaksa bersembunyi di pantri kami kerana telah dikejar oleh musuhnya. Sebenarnya mereka semua ini adalah rakan sekerja tetapi telah berlaku salah faham dan akhirnya telah mencetus kemarahan yang menyebabkan kecederaan yang teruk.

Musuh mereka juga telah melepaskan marah di kawasan hospital dengan memecahkan cermin sebuah kereta yang berada di situ dan juga telah memecahkan cermin pintu jabatan kami.  Mereka mempunyai parang dan sebatang kayu panjang yang digunakan untuk memecahkan cermin.  Saya sangat takut pada masa itu sebab pengawal keselamatan pun tidak dapat mengawal keadaan.  Semua pesakit-pesakit lain lari bertempiaran kerana takut dengan keadaan yang berlaku.  Keadaan menjadi sedikit reda apabila datang seorang yang bertindak sebagai ketua meleraikan keadaan   Mangsa berada dalam keadaan separuh kritkal dan berlaku banyak pendarahan sebab luka yang amat dalam.  Doktor dan para medic yang lain telah mencuba sedaya mampu bagi menyelamatkan pesakit.  Akhirnya polis tiba dan membawa mereka yang terlibat ke balai polis.  Mangsa pula telah dibawa ke dewan pembedahan untuk merawat luka kecederaan. 

Kerana itulah saya katakan yang keadaan staf  di Jabatan Kecemasan selalu terdedah kepada bahaya sedangkan kami tidak mempunyai sebarang peralatan untuk mempertahankan diri jika berlaku sesuatu yang diluar jangkaan.  Inilah pengalaman pertama saya sejak bertugas di jabatan ini.  Semoga Allah selalu melindungi kita dalam setiap langkah dan setiap yang dilakukan.
JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign