JURNAL SEORANG MISI: February 2016

25 Feb 2016

Jururawat Lelaki








Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 11

 
Assalamualaikum kepada semua pembaca.  Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda tentang dunia jururawat lelaki.  Jarang kita dengar tentang jururawat lelaki, selalu yang kita lihat bila sebut saja tentang jururawat tentu kita terbayangkan jururawat wanita yang bermuka comel,cantik manis, ayu dan lemah lembut.  Bagai satu stigma kerjaya membabitkan kejururawatan dan sains kesihatan sinonimnya sering dikaitkan dengan wanita dan ramai berasa janggal apabila dikaitkan dengan lelaki.  Wanita dianggap lebih relevan dengan kerjaya terbabit memandangkan mereka memiliki perwatakan lembut dan penyayang.  Tambahan pula perintis bidang kejururawatan adalah dari kalangan wanita.

 
Dalam era kini, semua perlukan duit.  Kata orang duit bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan duit dan duit tidak dibawa mati tetapi kita akan mati jika tiada duit.  Oleh itu ramai pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menganggur memilih untuk terus memohon kerjaya sebagai jururawat dan ada yang meneruskan pelajaran ke peringkat Universiti dalam bidang kejururawatan.  Pilihan yang selalu tidak menghampakan adalah profesion kejururawatan dan faktor mudahnya mendapat pekerjaan menjadi sebab kerjaya ini diminati oleh generasi muda termasuklah juga golongan kaum Adam. Berkecimpung dalam bidang kejururawatan sememangnya menjadi idaman bagi mereka yang meminati profesion ini.

 
Kini ramai kaum Adam yang telah menjadi jururawat selepas kerjaya jururawat  membuka peluang kepada golongan lelaki untuk menceburinya. Fenomena ini dilihat sebagai satu perkembangan yang positif dalam memberi pekerjaan kepada golongan Adam yang masih tercari-cari kerjaya bersesuaian buat mereka.  Ramai graduan lepasan Universiti dalam bidang lain masih mencari pekerjaan setimpal dengan pendidikan mereka dan ada yang menanggung hutang pemdidikan kerana masih belum mempunyai pekerjaan.  Adalah lebih baik ,mengikuti kursus kejururawatan di mana-mana universiti tempatan dan kolej kejururawatan, tamat pengajian, akan terus dapat pekerjaan. 

Mungkin agak janggal pada penglihatan masyarakat tetapi itulah hakikatnya.  Golongan lelaki kini sudah bersedia untuk memikul tugas dan amanah sebagai jururawat dan bersedia untuk bertugas seiring dengan jururawat wanita walaupun mereka berada dalam golongan minoriti di dalam profesion ini.  Kini, pandangan dan stigma orang ramai terhadap golongan lelaki yang menjadikan kerjaya jururawat sebagai satu profesion sudah semakin berubah apabila dilihat sebahagian daripada golongan tersebut mula menjadikan pekerjaan itu sebagai kerjaya mereka.
 
Bidang kejururawatan merupakan bidang yang mencabar namun, bidang ini masih menjadi pilihan utama generasi muda sekarang. Walaupun kaum Adam ini masih dalam golongan minoriti tetapi kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu dalam meringankan tugas-tugas yang berat dalam memberikan penjagaan dan perawatan kepada pesakit. 



 
 
 
  










23 Feb 2016

Penjimatan





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

#  Entri 10
Cerita petang tadi sewaktu saya dan suami sedang membeli barang-barang keperluan rumah,  Seorang anak kelihatan sedang memberontak terhadap ayahnya.  "Ayah ini kedekutlah", kedengaran seorang anak dalam lingkungan 10 tahun melepaskan geram terhadap ayahnya apabila kemahuannya tidak dipenuhi.  Si ayah hanya berdiam diri sahaja tanpa memperdulikan kata-kata anaknya.  Namun dalam hati siapa yang tahu.  Saya pun hanya memandang sahaja anak itu.  Si ayah tetap bersabar dengan rengekan anaknya. Tanpa memujuk, si ayah terus beredar ke tempat lain dan si anak juga mengikut tanpa sebarang bantahan.  Mungkin si ayah hendak berjimat dalam berbelanja dan membeli barang mengikut keperluan dan bukannya kehendak.
Keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini memang memerlukan penjimatan yang tinggi kerana semua harga barang meningkat berkali ganda.  Jika tidak pandai berbelanja kemungkinan kita mempunyai keberhutangan yang serius.  Anak-anak kecil sebenarnya tidak tahu berkaitan dengan kewangan, apa yang mereka tahu keperluan mereka mesti dipenuhi.  Apa yang mereka inginkan perlu dipatuhi.  Mungkin si ayah merasakan barang yang si anak kehendaki itu tidak penting.  Ini memberi peringatan kepada saya supaya anak-anak juga perlu diberitahu soal kewangan dan peningkatan harga-harga barang perlu diberitahu walaupun mereka tidak faham.  Kita yang dewasa ini perlu pandai mengawal keadaan dan membuat anggaran perbelanjaan.

Hal ini penting bagi keluarga dan individu dan boleh menjadi cara terpantas untuk menjimatkan wang. Kita akan secara langsung dapat melihat pendapatan kita dan pengeluaran selepas kita membuat anggaran perbelanjaan.  Kita hanya akan dapat menjimatkankan wang jika kita tahu berapa banyak wang yang dimiliki, dan berapa banyak wang yang kita belanjakan keluar.  Anak-anak perlu didedahkan tentang kepentingan menyimpan wang dan mengajar menabung seawal usia adalah sangat baik dan semoga usaha ini akan mengajar anak-anak untuk berjimat cermat dan mementingkan wang simpanan bagi masa hadapan. 

19 Feb 2016

Penghijrahan Jururawat (ii)





Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 9
 
Hari ini hujan turun awal pagi.  Syukur dengan nikmatnya kerana hujan dapat membasahi bumi setelah beberapa lama menghilang  Dalam keadaan cuaca yang sejuk ini saya ingin menyambung lagi entri saya berkaitan penghijrahan jururawat.   Idea datang mencurah-curah seperti curahan hujan di luar.  Dalam entri yang lalu saya ada bercerita tentang penghijrahan jururawat ke luar negara dengan panjang lebar.  Hari ini saya hendak sentuh sedikit lagi tentang penghijrahan mereka.  Pelbagai alasan yang mereka berikan untuk berhijrah ke luar negara.  Ada yang ingin mencari pengalaman baru, ada yang ingin menambah pendapatan bagi menampung keluarga, ada yang memberi alasan upah yang diberikan sangat tinggi memberi ruang untuk mereka berhijrah, ada juga yang terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan yang sudah lama berkhidmat di luar negara, dan pelbagai lagi alasan yang diberikan.  Apapun alasan mereka, kita tetap mendoakan kejayaan mereka memberi khidmat di negara luar. 
 
Rakan saya sendiri sudah ramai yang berhijrah terutama di Negara Arab.  Mereka terpaksa meninggalkan keluarga demi mengubah nasib keluarga.  Akan berlaku lagi penghijrahan yang tidak terduga memandangkan ekonomi negara kini juga sudah tidak stabil.  Harga barang-barang semua naik berlipat kali ganda dan gaji yang diterima tidak mencukupi.  Kita pun ada mendengar yang pekerja-pekerja digalakkan untuk membuat dua pekerjaan bagi mendapatkan pendapatan yang lebih.  Bagaimana pula halnya jika mempunyai keluarga yang besar tetapi hanya mengharapkan gaji bulan yang tidak seberapa. Keadaan ini juga yang mendorong ramai para jururawat berhijah ke luar negara semata-mata ingin mendapatkan gaji yang tinggi. Oleh itu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kejururawatan digunakan untuk  mengubah nasib keluarga.  Ditambah lagi permintaan yang sangat tinggi oleh negara luar dalam profesion kejururawatan diguna sebaiknya oleh mereka.
 
Bagi mereka yang berminat untuk melancong ke destinasi impian bolehlah memohon menjadi jururawat kerana peluang memang tinggi untuk berkhidmat di luar negara sekiranya memohon.  Sambil itu bolehlah pergi melancong kerana selain gaji yang tinggi masa bertugas juga hanya pendek  berbanding kerja di sini.  Anda juga akan dibayar gaji lebih masa jika menggunakan hari cuti itu untuk bekerja dan jika anda seorang yang ingin mengumpul duit bolehlah ambil peluang ini. Tiket untuk balik ke tempat asal juga disediakan terutama jika berkhidmat di Negara Arab.   

17 Feb 2016

Penghijrahan Jururawat (i)

 
 
 
 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google
 
 
#  Entri 8
 
 
Kami Sedia Membantu, adalah slogan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Bermaksud bersedia membantu dalam apa keadaan sekalipun walau di mana juga berada.  Begitu ramai yang ingin menjadi anggota KKM terutama jawatan sebagai jururawat.  Walaupun masyarakat setempat menganggap profesion ini sebagai profesion murahan namun masih ramai pelajar lepasan SPM yang memohon untuk menjadi jururawat. 
 
Di zaman yang serba moden ini pemikiran manusia juga perlu diubah. Persepsi mereka juga perlu diubah menjadi lebih luas dan terbuka.  Kita dapat melihat Kolej Kejururawatan tempatan dan swasta telah banyak ditubuhkan ibarat cendawan tumbuh. Menurut satu kajian, kerjaya jururawat pada zaman sekarang adalah kerjaya yang paling ramai sama ada di dalam mahupun luar negara. Ada yang mengambil peluang untuk mencari pengalaman 3 hingga 4 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan upah yang tinggi.  Begiitu tinggi pasaran profesion ini di luar negara.
 
Tahukah anda bahawa jururawat dari Malaysia ramai yang bekerja di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Qatar, Abu Dhabi, Dubai dan Bahrain dan gaji yang ditawarkan adalah bermula dari RM9000 ke atas bergantung pada jawatan seseorang jururawat.  Tidak hairanlah begitu ramai jururawat yang mempunyai pengalaman berhijrah ke Negara Arab untuk mendapatkan upah yang lebih tinggi selain mencari pengalaman di tempat orang.  Ramai jururawat berpengalaman antara tiga hingga lima tahun bekerja di tempat sendiri berlumba-lumba mencari peluang bekerja di sana terutama di Arab Saudi. 
 
Faktor lain, jururawat berkenaan tertarik untuk bekerja di sana adalah disebabkan insentif seperti kemudahan tempat tinggal, makanan, pengangkutan, tiket penerbangan pulang bercuti secara percuma berbanding ditawarkan di negara sendiri.  Selain itu mereka boleh mengerjakan haji bila ada masa terluang dan pergi melancong ke merata destinasi yang diingini.  dari Negara Arab. Di sebalik usaha kerajaan melatih ribuan jururawat, Malaysia menjadi antara kilang terbesar mengeksport jururawat ke serata dunia, ia menunjukkan tiada langsung pengangguran di kalangan jururawat di Malaysia dan Malaysia adalah antara negara di Asia yang dibayar gaji tinggi menyamai gaji yang diterima oleh jururawat lain yang datang dari Negara Barat.
 
Selalunya pihak Melorita yang mengendalikan penghijrahan jururawat Malaysia ke Negara Arab.  Pihak Melorita sebagai orang tengah akan mengurus semua keperluan mengikut standard yang ditetapkan dan ramai jururawat yang lebih suka mengikut agen Melorita kerana kebajikan mereka terjaga selain mendapat penempatan kerja seperti yang para jurarawat inginkan.  Singapura dan Brunei juga membayar gaji yang agak tinggi berbanding di Malaysia namun ramai jururawat yang lebih meminati untuk berhijrah ke Negara Arab kerana tertarik dengan ganjaran yang diberikan. 
 
Pada masa yang sama, Malaysia akan mempunyai masalah kekurangan jururawat setiap tahun kerana penghijrahan yang berlaku saban waktu ditambah lagi jururawat yang berpencen.  Oleh itu profesion jururawat masih menuntut permohonan kemasukan dari pelajar lepasan SPM dan graduan lepasan Universiti.  Ditambah lagi dengan kepesatan pembangunan negara dan peningkatan jumlah penduduk menunjukkan potensi dalam bidang kejururawatan adalah sangat tinggi.  Penghijrahan secara beramai-ramai ke negara Timur Tengah mungkin disebabkan persamaan agama yang membolehkan jururawat negara ini, khasnya beragama Islam diterima baik juga disebabkan oleh tekanan kerja yang tinggi di negara sendiri menjadi punca utama kekurangan jururawat di Malaysia.
 
 
 
 


13 Feb 2016

Perbezaan Pakaian Jururawat






Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri 7

Perasan tak anda bahawa terdapat pelbagai warna jalur pada cap/topi atau tudung jururawat dan terdapat juga pelbagai warna pakaian yang mereka guna.  Setiap warna ini menunjukkan jenis dan tugas yang berlainan pada jururawat seta pangkat yang berbeza.  Mari kita mengenali mereka satu persatu melalui pakaian yang dipakai oleh mereka.  Contoh pakaian yang saya terangkan ini adalah pakaian rasmi yang digunakan oleh semua jururawat terutama di Sabah.
 
 
Foto dibawah menunjukkan pakaian seorang Pelatih Jururawat Masyarakat.  Mereka memakai pakaian putih dan berbip coklat dibahu.  Setiap jalur dibahu mereka menunjukkan tahun kursus yang dilalui.  Kursus mereka adalah 2 1/2 tahun jadi alur dibahu sama ada satu ataupun 2 jalur,  Apabila tamat kursus mereka akan menjadi Jururawat Masyarakat Terlatih.


 
Pakaian Pelatih Jururawat Masyarakat


Jururawat Masyarakat Terlatih memakai pakaian putih berjalur ungu di cap/topi atau tudung yang mereka guna seperti dalam contoh foto di bawah ini.

                                                                             
                                                  Pakaian Jururawat Masyarakat Terlatih

Jururawat pelatih pula memakai pakaian putih berbip hijau, biru dan merah dibahu juga mengikut tahun berkursus mereka.  Apabila tamat kursus mereka akan menjadi Jururawat Terlatih yang memakai cap/topi atau tudung berjalur biru.  Bagi Jururawat Terlatih lelaki pula mereka akan memakai baju putih berbip putih tetapi berjalur biru dan berseluar hitam.  Foto dibawah adalah menunjukkan foto Pelatih Jururawat.


 
Pakaian Pelatih Jururawat
 
 
   
Pakaian Jururawat Terlatih
 
 
Bagi jururawat yang berbaju biru tetapi memakai jalur biru di cap/topi atau tudung, mereka adalah Jururawat Terlatih yang telah mencapai time base.  Namun mereka boleh memohon untuk menjadi Ketua Jururawat bila ada kekosongan jawatan dan bagi jururawat yang memakai baju biru dan bercap/topi atau tudung putih mereka adalah Sister ataupun Ketua Jururawat.  Bagi yang memakai baju biru tua pula mereka adalah Matron ataupun Penyelia Jururawat, Begitu juga dengan Ketua Penyelia Jururawat Hospital mereka memakai baju biru tua dan berkasut hitam.



 
Pakaian Penyelia Jururawat dan Ketua Jururawat

Jururawat Pergigian pula dikenali melalui pakaian putih dan berjalur kuning di cap atau tudung yang diguna.  Bidang tugas memang jauh berbeza dari Jururawat Terlatih



 Pakaian Jururawat Pergigian
.
Dengan sedikit pengenalan yang saya berikan diharap dapat meberi idea atau pengenalan kepada para pembaca.  Begitu juga kepada para pembaca yang berminat untuk menjadi jururawat boleh mengkaji dahulu sebelum memohon untuk menjadi warga jururawat.

11 Feb 2016

Jururawat Terlatih










Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google


#  Entri  6


Assalamualaikum, bertemu lagi kita di alam maya ini dengan perkongsian yang lain.  Sebelum ini saya pernah berkongsi jawatan Jururawat Masyarakat, kali ini saya ingin kongsikan satu lagi jawatan yang sangat penting iaitu Jururawat Terlatih.  Antara anggota yang paling ramai dihospital ialah jururawat.  Jururawat ini bolehlah dikatakan sebagai tulang belakang sesebuah hospital.  Jika anda perasan jururawat ini boleh dikenali dengan memakai pakaian putih dengan tudung atau topi berjalur biru tua.  Contoh pakaian ini saya ambil dari hospital tempat saya bertugas salah sebuah hospital kerajaan yang terdapat di Sabah.

Mari kita berkenalan dengan lebih lanjut dengan mereka.  Ada beberapa perkara yang perlu diketahui berkenaan tugas seorang jururawat.  Jururawat bukan sahaja tugasnya dilihat seperti kebiasaan di hospital merawat pesakit tetapi juga terdapat di dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional, Sokongan (Skim Perkhidmatan Bersepadu) dibawah Kementerian Kesihatan sekiranya bekerja sebagai jururawat di sektor kerajaan.  Untuk mengetahui tugas-tugas seorang jururawat dengan jelas bolehlah mendapatkannya dari laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA). 

Salah satu syarat untuk dilantik menjadi seorang jururawat ialah perlu mendapatkan Diploma Kejururawatan daripada institusi-institusi latihan Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun swasta yang diiktiraf oleh kerajaan dan telah berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan tugas.  Lesen inipun perlu diperbaharui setiap tahun.  Menjadi seorang jururawat perlulah mempunyai ketahanan mental yang tinggi kerana ia berada pada tahap pekerjaan melayan karenah manusia lain yang mana boleh menimbulkan ketidakselesaan dan masalah-masalah luar jangka akibat dari ragam manusia yang pelbagai.

Kini profesion sebagai jururawat semakin digemari dan mendapat sambutan terutama di luar Negara yang memberikan upah yang tinggi kepada jururawat.  Tidak hairanlah kini institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara membuka ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk menjadikan bidang kejururawatan sebagai salah satu jurusan yang boleh diambil.  Graduan-graduan lepasan insitusi-institusi pengajian tinggi juga perlu berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia sebelum mereka boleh bertugas di kawasan penempatan. 
 
Kepada pembaca diluar sana yang berminat untuk menjadi jururawat perlu mengetahui, memahami tugas dan peluang kerjaya seorang jururawat.  Pastikan anda betul-betul memahami kerana jururawat ini terdapat dalam pelbagai jenis  seperti Jururawat Terlatih, Jururawat Masyarakat, Jururawat Pergigian dan juga Jururawat U41 dan semua ini mempunyai bidang tugas dan tanggungjawab yang berbeza walaupun bertugas di bawah satu bumbung mahupun mempunyai gelaran yang sama iaitu 'Jururawat'.

Jururawat Masyarakat


 
 
 
Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google

 
                                                                       
#  Entri  5


Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi salah satu jawatan jururawat yang ada iaitu Jururawat Masyarakat.  Mungkin ada diantara pembaca yang masih kurang mengetahui tentang Jururawat Masyarakat.  Sebelum ini Jururawat Masyarakat ini dikenali juga sebagai Jururawat Desa.  Jururawat Desa ini hanya ditempatkan di klinik-klinik kesihatan di bandar dan juga desa.  Namun begitu jawatan ini sudahpun dinaiktarafkan dan gelaran itu ditukar kepada Jururawat Masyarakat selaras dengan tugas-tugas mereka yang telah diperluaskan dan  kini mereka juga telah ditempatkan di hospital-hospital.  Jururawat Masyarakat ini memakai pakaian yang sama dengan jururawat-jururawat yang lain tetapi hanya dibezakan oleh jalur yang berwarna ungu yang dilekatkan ditudung ataupun cap/topi. 

 
Sebelum bergelar Jururawat Masayarakat Terlatih terlebih dahulu mereka perlu untuk menjalani kursus selama 2 1/2 tahun di kolej-kolej jururawat dan tamat dengan jayanya kursus latihan yang ditetapkan dengan mendapat Sijil Jururawat Masyarakat yang diiktiraf oleh kerajaan dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia dan Lembaga Bidan Malaysia.  Setelah mendapat lesen barulah mereka dibenarkan untuk memulakan tugas di kawasan-kawasan penempatan mereka dan lesen ini perlu diperbaharui setiap tahun.  Gambar disebelah adalah contoh tudung berjalur ungu yang digunakan oleh Jururawat Masyarakat sekarang.
 

Kini kita dapat melihat jururawat ini disemua klinik-klinik kesihatan bandar dan kampung serta di semua hospital-hospital kerajaan.  Mereka ini juga berpeluang untuk kenaikan pangkat  dengan melanjutkan pelajaran selama 1 tahun yang dipanggil kursus KPSL iaitu Kenaikan Pangkat Secara Lantikan dan selepas tamat tempoh berkursus selama 1 tahun mereka sudah bergelar sebagai Jururawat Terlatih.

 
Jika di hospital mereka ini lebih bertanggungjawab dalam membantu melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan perbidanan, penjagaan kesihatan ibu dan anak, perawatan asas dan penjagaan pesakit mengikut disiplin penempatan dimana mereka bertugas.  Jika bertugas di Klinik Kesihatan pula, mereka lebih bertanggungjawab menjalankan sesi klinik ibu hamil (antenatal), ibu selepas bersalin (postnatal). sesi kanak-kanak,  lawatan ke rumah, bertugas atas panggilan bagi kes kebidanan di klinik/kelahiran di rumah dan Pusat  Bersalin Alternatif (ABC) atau klinik dan menjalankan motivasi serta ceramah kepada ibu-ibu tentang kaedah merancang keluarga, pemakanan, penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta membuat pemeriksaan pap smear.

Mereka inilah yang lebih ramai ditempatkan di klinik-klinik luar bandar, yang lebih terdedah kepada risiko-risiko bahaya kerana mereka akan keluar membuat lawatan ke rumah-rumah ataupun keluar atas panggilan orang awam mengharungi titian sungai, jalan raya yang rosak, menerjah hutan rimba tanpa mengira hujan dan panas bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat,  Berbangding jika di hospital tugas mereka adalah dibawah tanggungjawab Jururawat Terlatih kerana tugas mereka hanya membantu jururawat melakukan perawatan dan jagaan kepada pesakit.











 
JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign