JURNAL SEORANG MISI: November 2016

14 Nov 2016

Dilema Seorang Jururawat




Image result for dilema seorang jururawat



Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google



#  Entri 53

Assalamualaikum pembaca blog yang dikasihi semua semoga anda semua berada dalam lindungan Allah SWT,  Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya untuk membaca coretan harian saya. Hari ini saya nak bercerita tentang tabiat saya.  Sesiapa yang selalu singgah di blog saya tentu tahu siapa saya.  Saya adalah seorang jururawat dan hingga kini masih lagi bekerja makan gaji.  Namun saya berimpian untuk menukar kerjaya saya ini kepada kerjaya yang lebih baik, yang mempunyai banyak masa bersama keluarga, banyak masa untuk beribadat kepadaNya dan yang penting bebas dari tekanan tempat kerja.  Saya bersyukur kerana sudah mempunyai pekerjaan yang mulia, yang boleh dijadikan satu ibadah kerana mampu membantu ramai pesakit untuk mendapatkan kembali kesihatan mereka. Sebagai seorang jururawat, jasa yang ditabur tidak terkira nilainya, kami bertugas shif kerja pagi, petang dan malam setiap masa dan kadangkala terpaksa meninggalkan keluarga untuk pergi mencurah bakti membantu masyarakat yang memerlukan.  

Namun begitu tidak semua masyarakat dapat menghormati pekerjaan kami,  Ada masyarakat yang memandang rendah pada kerjaya kami yang menganggap jururawat sebagai orang gaji yang boleh disuruh apa saja untuk memenuhi keperluan pesakit.  Ada yang siap sumpah seranah jika keperluan mereka tidak dipenuhi malah ada yang memukul jika khidmat yang diberi tidak memenuhi citarasa mereka.  Oleh itu seorang jururawat tidak boleh membuat sebarang kesilapan kerana setiap pergerakan mereka diperhatikan.  Jika anda sensitif kepada keadaan persekitaran, anda boleh membaca akhbar-akhbar yang mana jururawat dipukul, jururawat di tengking dan macam-macam lagi.  Keadaan ini menimbulkan tekanan ditempat kerja, tempat kerja bukan lagi tempat yang menyeronokkan bagi mereka sedangkan jika difikir tempat kerja merupakan tempat yang kedua mereka selepas rumah kerana masa yang diluangkan di tempat kerja lebih kurang sama dengan rumah.

Oleh kerana tindakan segelintir masyarakat yang bertindak menggunakan kekerasan keatas jururawat maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan pemasangan papan tanda peringatan kepada pelanggan mengenai larangan kekerasan terhadap kakitangan mereka di seluruh negara.  Ketua pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyelarasan dan pemasangan notis terbabit bertujuan mengingatkan pelanggan agar berkelakuan baik sekali gus menghormati peraturan apabila berada di mana-mana kemudahan KKM.  Beliau juga menekankan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelanggan yang melakukan kekerasan terhadap warga KKM.
Semua pengarah kesihatan negeri telah dimaklumkan mengenai penyelarasan notis peringatan kepada pelanggan mengenai larangan kekerasan terhadap kakitangan KKM, dan langkah tersebut diambil sebagai langkah melindungi warga kementerian itu.  Diharapkan masyarakat diluar sana boleh berfikir sewajarnya dan tidak seharusnya melakukan sesuka hati sesama insan.

9 Nov 2016

Hujan

Image result for hujan


Teks  :  Rosnia Dahlan
Foto  :  Carian Google



#Entri  52

Sedar tak sedar sudah sebulan lebih saya tak update blog.  Rasa-rasanya ada lagi tak yang sudi singgah ke blog saya untuk membaca coretan saya.  Assalamualaikum selamat pagi sahabat hebat semoga anda sentiasa berada dalam lindunganNya selalu dan dilimpahi rezeki yang berkah. Beberapa hari ini hujan turun dengan meriahnya.  Hari ini pun hujan turun lagi seawal 2 pagi dan masih belum tetapi tidaklah selebat awal tadi. Masa saya menulis blog ini pukul 5 pagi jadi bermakna hujan sudah turun selama 3 jam.  Saya yakin parit-parit, longkang-longkang dipenuhi air dan jika berlarutan banjir kilat akan berlaku.  Almaklum biasanya bulan 12 memang musim hujan kan sebab itu sekarang ini semua jadual peperiksaan yang penting telah diawalkan supaya para pelajar yang menduduki peperiksaan tidak terlibat dalam banjir yang akan mengganggu konsentrasi mereka.

Saya ada terbaca tentang cuaca pada bulan Disember ini yang mana Negara kita masih berada dalam fasa Monsun Timur Laut yang merupakan musim hujan utama Negara kita. Di Semenanjung Malaysia, pada bulan Disember ini, keadaan cuaca yang lembap dijangkakan di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang serta timur Johor. Bagi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dijangkakan akan menerima sedikit penambahan jumlah hujan berbanding normal sementara kawasan-kawasan lain dijangkakan menerima hujan pada paras normal. 

Bagi negeri Sarawak pula, pada bulan Disember 2016 dijangkakan seluruh kawasan akan menerima hujan pada paras normal kecuali kawasan Kapit dan Belaga dijangkakan akan menerima sedikit pengurangan hujan. Bagi negeri Sabah, kebanyakan kawasan dijangka menerima curahan hujan pada paras normal sepanjang tempoh tinjauan Disember 2016 sehingga Mei 2017 kecuali kawasan pantai barat dan Kudat dijangka akan menerima sedikit penambahan jumlah hujan pada bulan Januari dan Februari 2017. 

Hujan yang kita sedia maklum selain menyebabkan masalah kerosakan harta benda yang teruk, masalah lain yang mungkin lebih membinasakan tetapi dipandang ringan adalah isu kesihatan.  Banjir adalah punca utama pelbagai penyakit bawaan air seperti demam kepialu, Hepatitis A, leptospirosis kerana mangsa terdedah dengan air yang tercemar.  Penyakit-penyakit ini tidak boleh dipandang mudah kerana ia boleh membawa maut jika lambat di rawat.  Simptom-simptom yang biasa hadir ialah muntah-muntah dan cirit-birit.  Oleh itu elakkan makanan dan minuman yang tercemar serta mengutamakan penjagaan kebersihan yang betul.  

Pastikan anak-anak tidak bermain dalam hujan dan yang penting awasi pergerakan anak-anak kita sebagai langkah keselamatan.  Juga sentiasa dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda seperti sistem amaran banjir dan lokasi pusat pemindahan, Sentiasa memeriksa dan membersihkan semua lubang air samada longkang atau saluran perparitan dan yang penting pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan.  

Jumpa saya di entri seterusnya.



















JURNAL SEORANG MISI . Designed by MaiGraphicDesign